AKSI pemain pasukan Pahang Rangers FC (kiri) dan PON DPI Jakarta 7-3 pada perlawanan persahabatan antarabangsa. FOTO PRFC
AKSI pemain pasukan Pahang Rangers FC (kiri) dan PON DPI Jakarta 7-3 pada perlawanan persahabatan antarabangsa. FOTO PRFC
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Persefahaman pemain mula dapat dilihat dalam pasukan Pahang Rangers FC selepas mereka membenam pasukan PON DPI Jakarta 7-3 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Gandingan pemain lama dan baharu dalam skuad Pantai Timur bimbingan jurulatih Gerard Casas terbukti berkesan dan mampu memberi saingan pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) musim depan.

Menurut Casas, bukan keputusan yang dinilai pada perlawanan persahabatan itu sebaliknya dia ingin melihat persefahaman dikalangan pemain Pahang Rangers FC selepas memulakan latihan pertengahan bulan ini.

Katanya, dia berpuas hati dengan semangat dan prestasi dipamerkan barisan pemain Tok Gajah walaupun terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki menjelang saingan MPFL musim depan.

"Kelibat empat pemain baharu Muhammad Amirul Khairuddin, Muhammad Sirhan Aiman, Tuah Eizlan Aminnudin dan Iqhmal Najmie Ismail mampu memberi impak pada pasukan sebagai penambah kekuatan pasukan membantu pemain lama.

"Tenaga pemain kebangsaan Zainulzahin Sinuan, Harith Naim Mihd Nasir, Muhamad Ridzwan Bakri, Muhammad Farhan Anuar dan Mahadir Harahap Khairuddin pastinya menjadi senjata merbahaya buat pasukan dalam usaha mempertahankan kedudukan selaku juara berganda musim ini," katanya, di sini hari ini.

Pada perlawanan pemanas badan itu jaringan Pahang Rangers FC disumbang masing-masing dua gol oleh Mohamad Sufri Shamil dan Iqhmal Najmie.

Turut menghasilkan jaringan Nazreen Saudi, Muhammad Amirul Khairuddin dan Megat Megat Adam Faizahan Abdul Rahman.

"Pasukan Pahang Rangers FC bercuti empat hari sempena Krismas esok, sesi latihan disambung Selasa minggu depan. Kita menunggu kehadiran pemain import yang akan diumumkan oleh pengurusan pasukan.

"Latihan pasukan lebih lengkap apabila ada pemain import baharu yang mengantikan Sergio Jamur De Sousa dan Amin Nasrollah Zadeh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 12:47 PM