PEMAIN Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri (kiri) dan Mahadir Harahap Khairuddin gagal tampil mengikuti sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan MPFL. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan Bakri (kiri) dan Mahadir Harahap Khairuddin gagal tampil mengikuti sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan MPFL. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kem juara berganda musim ini, Pahang Rangers FC kini berhadapan kemelut sikap tidak disiplin dua pemain senior yang gagal tampil mengikuti sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) musim depan.

Pemain terbabit, Muhamad Ridzwan Bakri dikatakan sudah sebulan tidak muncul berlatih dan rakannya, Mahadir Harahap Khairuddin pula lebih seminggu tidak kelihatan.

Episod kali pertama berlaku dalam skuad bimbingan jurulatih, Gerard Casas itu tidak pernah diduga pengurusan pasukan yang sebelum ini begitu menghargai dua pemain kebangsaan terbabit seolah menatang minyak yang penuh.

Persiapan pasukan Pantai Timur itu kini dilihat sedikit terjejas apabila tanpa kelibat dua pemain terbabit yang gagal muncul mengikuti latihan tanpa sebarang alasan, lebih mengecewakan individu terbabit gagal dihubungi seolah membisu seribu bahasa.

Menurut Casas, sebagai pemain professional perbuatan tidak tampil mengikuti latihan tanpa alasan seharusnya tidak berlaku terutama dalam persiapan pasukan Pahang Rangers FC menghadapi saingan MPFL.

"Saya amat kecewa dengan sikap tidak professional dua pemain terbabit, apa juga masalah yang dihadapi mereka perlu berbincang dengan saya dan pihak pengurusan pasukan...bukan menyepi diri tidak turun mengikuti latihan.

"Pemain terbabit masih mempunyai kontrak bermain dengan Pahang Rangers FC, Muhamad Ridzwan masih mempunyai setahun baki kontrak dan Mahadir Harahap baharu sahaja menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun.

"Dengan kontrak yang masih ada pemain terbabit perlu mengikuti syarat ditetapkan sebagai pemain, termasuk mengikuti latihan pra persiapan MPFL 2024," katanya selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tok Gajah bertemu PON DPI Jakarta di Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Casas menambah, sebagai jurulatih dan rakan dia mengingatkan pada Muhamad Ridzwan dan Mahadir Harahap supaya tidak membuat tindakan melulu yang akhirnya mengundang perkara tidak diingini.

"Peluang untuk Muhamad Ridzwan dan Mahadir Harahap untuk kembali bersama pasukan masih terbuka luas, sebarang masalah perlu melalui proses perbincangan dengan pengurusan pasukan, bukan bersikap membisu.

"Pasukan Pahang Rangers FC tetap akan terus mengadakan persiapan menghadapi saingan MPFL musim depan, bukan mudah untuk kita mempertahankan kejuaraan berganda yang dicapai musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 12:17 PM