AKSI Pahang Rangers menentang Gombak TOT United semalam. FOTO Ihsan Pahang Rangers
AKSI Pahang Rangers menentang Gombak TOT United semalam. FOTO Ihsan Pahang Rangers
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kebangkitan pada penghujung perlawanan menyelamatkan maruah Pahang Rangers FC daripada diaibkan Gombak TOT United selepas mencatat kemenangan 8-6 pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, semalam.

Episod lambat panas sekali lagi berlaku pada skuad bimbingan jurulatih, Gerard Casas apabila mereka ketinggalan 0-1 selepas tiga minit perlawanan bermula menerusi penyerang import pelawat, Luan Feitosa Gomes.

Gol penyamaan hadir pada minit ke tujuh menerusi ayam tambatan mereka Hamdin Zarif Mahmun yang turut menyumbang jaringan kedua tuan rumah seminit kemudian.

Pemain lincah pelawat Faisal Saharudin menghasilkan gol pada minit ke 11 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Perlawanan semakin rancak apabila Hamdin Zarif melengkapkan hatriknya pada minit ke 15 sebelum Felipe de Souza menyumbang gol pada minit ke 17.

Pemain import Pahang Rangers Murilo Carlos Saad menjaringkan gol pada ke 21.

Tiga gol tuan rumah lagi disumbang oleh Harith Na'im Nasir pada minit 36 dan 39, pelengkap gol kemenangan Tok Gajah disumbang Souza pada minit ke 40.

Penyerang Gombak TOT United yang turut menyumbang jaringan ialah Habibi Sultan (m 25), Ridhwan Zainal (m 27 dan m 28) dan Nursyafiq Madselan (m 35).

Perlawanan semalam menyaksikan kedua pasukan mempamerkan persembahan yang begitu menarik dan menghiburkan, kebangkitan tuan rumah berlaku penghujung babak kedua.

Tuan rumah dilihat bernasib baik apabila dapat menghasilkan jaringan pada penghujung perlawanan sedang kedudukan terikat 6-6 sebelum dua gol Pahang Rangers terhasil bagi menutup pintu buat pelawat.

Kelekaan pelawat yang berusaha memburu jaringan di penghujung permainan membuka peluang pada Pahang Rangers mengambil kesempatan untuk menghasilkan dua gol power play oleh Harith Na'im yang begitu bermakna untuk menyudahkan perlawanan dengan jaringan 8-6.

Pahang Rangers kini kekal menduduki tangga liga di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT), sementara Gombak TOT United turun ke tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 4:24 PM