PAHANG Rangers tumpas kepada Selangor TOT pada aksi pembukaan Piala Futsal Malaysia. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PAHANG Rangers tumpas kepada Selangor TOT pada aksi pembukaan Piala Futsal Malaysia. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers memulakan saingan suku akhir pertama Piala Futsal Malaysia dengan langkah kiri apabila tewas tipis 4-5 pada Selangor TOT di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, Selangor semalam.

Pelawat yang membawa imej selaku juara liga Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 bertindak garang menerusi gol awal oleh Mahadir Harahap Khairuddin pada minit keempat, sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke 11 oleh Guntur Sulistyo Arobowo.

Pada minit ke 14 Selangor TOT menambah jaringan meneruskan Wan Raziq Wan Zulhasmi dan seminit kemudian pemain Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris menghasilkan jaringan penyamaan.

Seminit sebelum babak pertama berakhir penyerang import Helio Neto menghasilkan jaringan untuk memastikan tuan rumah berada di hadapan dengan 3-2.

Bermula babak kedua perlawanan menjadi semakin rancak, dua gol Selangor TOT disumbang Neto pada minit ke 24 dan Guntur Sulistyo Arobowo (m-28).

Dua gol Pahang Rangers disumbang oleh Harith Na'im Nasir pada minit ke 29 dan gol penalti oleh Sergio Jamur seminit sebelum perlawanan tamat.

Jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas berkata dia tidak menyalahkan pemain apabila gagal mencatat kemenangan pada perlawanan suku akhir pertama semalam kerana pemain telah memberi persembahan yang terbaik.

"Pemain Pahang Rangers lebih berhati-hati terutama pada babak pertama hingga memberi peluang kepada tuan rumah lebih banyak melancarkan asakan hingga menghasilkan tiga gol.

"Saya tidak nafikan pemain Pahang Rangers agak penat selepas mengharungi perlawanan akhir kedua MPFL di Johor, faktor berkenaan menjejaskan persembahan pasukan," katanya, dihubungi di sini.

Beliau menambah, kekalahan tipis 5-4 kepada Selangor TOT semalam tidak terlalu membimbangkan, perlawanan suku akhir kedua akan diadakan Rabu ini di Stadium Tertutup Sukpa, di sini.

"Saya berharap kita dapat bangkit untuk melangkah ke peringkat separuh akhir, peluang masih terbuka luas kini terpulang kepada pemain untuk bangkit membuktikan kebolehan masing-masing.

"Pemain Pahang Rangers akan diberi rehat sebelum turun menjalani latihan sebagai persiapan berhadapan Selangor TOT," katanya yang yakin keputusan terbaik dapat dicipta di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 3:38 PM