Pemain dan pengurusan Pahang Rangers menerima hadiah dan medal selepas menduduki tempat kedua di MPFL. FOTO FAM
Pemain dan pengurusan Pahang Rangers menerima hadiah dan medal selepas menduduki tempat kedua di MPFL. FOTO FAM
BERNAMA

Shah Alam: Gelaran pemain terbaik Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2022 membakar semangat ayam tambatan Pahang Rangers, Abu Haniffa Hasan untuk memikat hati ketua jurulatih Chiew Chun Yong pada pemilihan pemain ke Kejuaraan Futsal AFF 2022 Bangkok, Thailand.

Abu Haniffa berkata peluang tersenarai menyertai kem latihan pusat skuad futsal kebangsaan itu akan dimanfaat sepenuhnya bagi merebut 16 tempat dalam pasukan yang akan membawa cabaran negara ke kejohanan di Bangkok itu nanti.

"Saya sudah lakukan persembahan terbaik dalam MPFL sehingga bergelar pemain terbaik.

"Apa yang pasti ia adalah pemangkin untuk saya terus mempamerkan aksi cemerlang membantu negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian piala kepada juara MPFL di Kompleks Sukan Panasonic, hari ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan prestasi 20 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan di Arena Futsal, Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Rabu ini dinilai sepanjang saingan MPFL 2022 sejak 14 Januari lalu.

Sementara itu, perlawanan akhir liga antara Selangor MAC dan Pahang Rangers petang tadi berkesudahan dengan keputusan 2-2.

Selangor MAC yang sudahpun mengesahkan status selaku juara MPFL 2022 pada Isnin lepas membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Muhammad Azri Rahman.

Tersentak dengan jaringan tersebut, giliran Pahang Rangers bangkit menyamakan kedudukan selepas Abu Haniffa menyumbat gol pada minit ke-23 disusuli satu lagi gol selang seminit kemudian oleh Mohd Ridzwan Bakri.

Mohd Firdaus Ambiah muncul penyelamat buat Selangor MAC apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-33 dan keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad Selangor FC kendalian Addy Shairullyzam unggul di persada liga dengan mengutip 37 mata sementara skuad Pahang Rangers pula di tempat kedua dengan 33 mata.

Pemain Selangor MAC Muhammad Ekmal Shahrin dan Silva Matheus Vasconcelos muncul penjaring terbanyak sepanjang liga berlangsung dengan masing-masing 14 gol dijaringkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 10:03 PM