ZAINULZAHIN tidak tersenarai bersama skuad kebangsaan musim ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
ZAINULZAHIN tidak tersenarai bersama skuad kebangsaan musim ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Penjaga gol Pahang Rangers FC, Zainulzahin Sinuan tidak terkilan apabila gagal bersama skuad kebangsaan ke saingan jemputan di Thailand sebagai persiapan menghadapi kejohanan rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, dalam keadaan prestasi yang kurang memuaskan kini berikutan kecederaan pergelangan tangan kiri sejak awal musim ini, dia lebih rela tercicir daripada skuad kebangsaan.

"Musim lalu terpilih mewakili negara, namun musim ini nama saya tercicir. Sebagai pemain saya reda dengan keputusan jurulatih kebangsaan itu (Rakphol Sainetngam) yang menggugurkan nama saya.

"Tidak dinafikan timbul juga rasa kecil hati, namun saya perlu bersikap positif dengan menerima keputusan yang diputuskan.

"Prestasi yang kurang memuaskan sepanjang empat perlawanan saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL), mungkin menjadi penanda aras keputusan jurulatih terbabit," katanya, dihubungi di sini semalam.

Dia menambah, sepanjang empat perlawanan yang dilalui pasukan Pahang Rangers, bolos sebanyak 21 kali.

Jumlah berkenaan dilihat kurang memuaskan berbanding musim lalu.

Zainulzahin berkata, gagal terpilih bersama skuad kebangsaan kali ini tidak bermakna peluang mewakili negara tertutup terus, dia berjanji akan berusaha memberi persembahan terbaik bagi menarik minat jurulatih kebangsaan kelahiran Thailand itu.

Menurutnya, tempoh rehat yang panjang saingan liga diharap memberi peluang dia pulih daripada kecederaan yang dialami, sebelum turun beraksi untuk Tok Gajah pada bulan depan.

"Sebagai penjaga utama Pahang Rangers, terdetik persoalan dalam hati saya kenapa begitu banyak jaringan bolos gawang saya. Empat perlawanan 21 gol bermula enam gol perlawanan pertama bertemu Shah Alam City diikuti empat bertemu Selangor FC.

"Gawang saya bolos lima gol bertemu Sabah FC dan enam gol bertemu Gombak TOT United. Saya agak kecewa dengan jumlah jaringan yang banyak itu," katanya yang berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

Musim ini hanya dua pemain Pahang Rangers tersenarai bersama 16 pemain skuad kebangsaan, pemain terbabit ialah Hamdin Zarif dan Harith Naim.

Turut disenaraikan tujuh pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), empat pemain pasukan Selangor FC dan masing-masing seorang pemain Shah Alam City, Terengganu termasuk Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 4:34 PM