PEMAIN  JDT gigih jalani latihan menjelang final  Piala Futsal Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, Ahad ini. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEMAIN JDT gigih jalani latihan menjelang final Piala Futsal Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, Ahad ini. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pendatang baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia, Ahad ini.

Musim pertama bersaing dalam Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023, skuad Harimau Selatan bimbingan Juan Antonio Miguel Garcia tampil bergaya apabila menduduki tangga kedua liga selepas tewas pada Pahang Rangers.

Final Piala Futsal Malaysia, Ahad ini menjadi pertembungan ulangan dua pasukan terbaik negara untuk dinobatkan sebagai juara.

Ketua pasukan JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq berkata, selepas terlepas gelaran juara liga MPFL 2023, peluang terakhir mencatat kejayaan bermakna musim ini terhidang pada final Piala Futsal Malaysia bertemu Pahang Rangers di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, di atas kertas bukan mudah menewaskan Pahang Rangers yang begitu cemerlang musim ini, namun dalam sukan futsal tidak mustahil pasukan berstatus jaguh tumbang di perlawanan akhir.

Katanya, persiapan pasukan JDT bersaing di pentas akhir kini sudah mencapai fasa akhir. Selain menumpukan corak permainan, tumpuan juga diberikan bagi melakukan sepakan percuma dan penalti.

"Pemain JDT kini telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di pentas akhir dengan membawa misi menjulang kejuaraan, percaturan jurulatih akan digunakan sepenuhnya dalam usaha menjinakan lawan yang memiliki kelebihan tersendiri.

"Saya berpendapat peluang JDT dan Pahang Rangers pada perlawanan akhir, Ahad ini 50-50. Pasukan yang banyak melakukan kesilapan mengundang kekalahan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Di peringkat separuh akhir JDT menewaskan Selangor MAC dengan agregat 8-3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 12:33 PM