AKSI antara Sri Pahang dan Perak sebentar tadi di Stadium Darul Makmur. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
AKSI antara Sri Pahang dan Perak sebentar tadi di Stadium Darul Makmur. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mengutip tiga mata selepas menewaskan Perak FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Jaringan penyerang import, Kpah Sherman pada babak kedua memastikan skuad Tok Gajah kembali mencatat kemenangan selepas tewas 0-4 kepada Sabah FC pada 15 Julai lalu.

Namun, pada perlawanan itu, permainan berhati-hati dipersembahkan kedua-dua pasukan sepanjang tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Selepas itu, peluang terbaik Sri Pahang hadir menerusi sentuhan Stefano Brundo tetapi tandukan pemain import itu terkena tiang gol sebelah kanan lawan pada minit ke-22.

Lima minit kemudian, pemain tengah import, Kuvondik Ruziev turut memiliki peluang menjaringkan gol tetapi bola rembatannya sedikit melepasi palang.

Pada minit ke-29, pemain pertahanan Perak, Raja Imran Shah Raja Amin hampir menghasilkan gol tetapi tandukan lemah memudahkan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan menangkapnya.

Pemain tengah Tok Gajah, Baqiuddin Shamsuddin pula memiliki peluang keemasan menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-33 namun bola tendangannya terkena tiang sebelah kiri lawan yang menyaksikan kedua-dua pasukan akur tanpa jaringan pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, gol pendahuluan yang dicari-cari Sri Pahang hadir menerusi jaringan penyerang import, Sherman selepas menewaskan penjaga gol lawan, T Shaheeswaran pada minit ke-55.

Ketinggalan 0-1, Perak berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi pertahanan kental tuan rumah menyebabkan jaringan yang diinginkan tidak berhasil.

Bagi Sri Pahang, kemenangan itu menebus kekecewaan tewas kepada Sabah manakala Perak pula terlepas untuk sekurang-kurangnya untuk membawa pulang satu mata di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 7:32 PM