GAYA Sherman meraikan jaringan. FOTO Sri Pahang FC
GAYA Sherman meraikan jaringan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC dan Sabah FC masing-masing berkongsi satu mata selepas seri 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Bagi tuan rumah, ia keputusan seri kali ketiga daripada empat perlawanan manakala seri kali pertama buat pasukan pelawat.

Namun, pada perlawanan itu, Sabah lebih banyak memberikan tekanan kepada Sri Pahang apabila memperolehi beberapa peluang untuk membolosi gawang tuan rumah.

Peluang terbaik yang dimiliki lawan menerusi rembatan pemain import, Jailton Lourenco yang sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol tuan rumah pada minit ke-10.

Tiga minit kemudian, kerja keras pelawat akhirnya berhasil apabila tandukan Daniel Sang Ting meletakkan Sabah mendahului 1-0 selepas penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan gagal menyekat.

Tersentak jaringan itu, tuan rumah seakan baru menemui rentak permainan dan lebih melancarkan serangan ke kubu lawan untuk gol penyamaan.

Pada minit ke-25, penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman menjaringkan gol penyamaan selepas menewaskan penjaga gol lawan, Damien Chien.

Selepas itu kedua-dua pasukan berusaha untuk mendapatkan gol pendahuluan tetapi akur terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang yang mahu mengutip tiga mata menggandakan asakan tetapi dinafikan pertahanan kental lawan dan begitu juga dengan Sabah.

Pada minit ke-67, Sabah kehilangan Datuk Ong Kim Swee selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharuddin.

Selepas itu kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi akhirnya akur berpuas hati berkongsi satu mata selepas perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 10:28 PM