PEMAIN Sri Pahang FC, Manuel Federico Hidalgo diasak pemain  Sarawak United FC, Muhammad Gopi Rizqi (kiri) pada saingan Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
PEMAIN Sri Pahang FC, Manuel Federico Hidalgo diasak pemain Sarawak United FC, Muhammad Gopi Rizqi (kiri) pada saingan Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Sarawak United mengutip tiga mata selepas menewaskan Sri Pahang 2-1 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Namun, tuan rumah yang mencatat dua kemenangan berturut-turut memulakan perlawanan dengan melancarkan serangan awal ke kubu lawan.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir menerusi Nor Azam Abdul Azih tetapi bola sepakan pemain tengah itu sedikit melepasi palang seawal minit kelapan.

Pada minit ke-13, gol pendahuluan yang dicari skuad kendalian Dollah Salleh itu tercapai hasil tandukan penyerang import, Kenny Athiu selepas menerima hantaran daripada Ashar Al Aafiz Abdullah.

Namun skuad bimbingan E Elavarasan yang jarang melakukan gerakan berbahaya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil sentuhan penyerang import, Sandro Da Silva.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Zuhair Aizat Mohd Nazri hampir meletakkan pasukannya kembali di hadapan tetapi bola sepakan pemain trngah itu sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol lawan.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang berusaha menggandakan asakan untuk mendapatkan gol kedua tetapi pertahanan kental Sarawak United menafikan peluang tuan rumah.

Sebaliknya, pasukan pelawat dilihat lebih banyak bertahan ketika asakan dilakukan tuan rumah untuk memastikan tiga mata berpihak kepada tuan rumah.

Ketika kedudukan perlawanan berakhir dengan seri, Abdul Rahim Abdul Razak memastikan Sarawak United mengutip tiga mata apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 11:13 PM