AKSI antara Kelantan dan Sabah dalam perlawanan Liga Super semalam. FOTO Ihsan Sabah FC
AKSI antara Kelantan dan Sabah dalam perlawanan Liga Super semalam. FOTO Ihsan Sabah FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Jujur saya katakan, kami seperti pasukan kawan-kawan kumpulkan siapa yang mahu bermain."

Demikian pengakuan pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera yang berkongsi realiti sebenar masalah membabitkan pasukannya hingga merekodkan jumlah bolos terburuk dalam sejarah Liga Malaysia sejak 1994.

Pada aksi Liga Super di Stadium Mini UiTM di Shah Alam malam tadi, skuad The Red Warriord (TRW) tumbang 0-7 di tangan Sabah FC sekali gus melepasi angka 100 gol dibolosi musim ini dengan jumlah terkini 102 gol yang dilepaskan anak buah Vera.

Jelas jurulatih dari Argentina itu, beliau terpaksa mengutip pemain-pemain dari luar untuk menghadapi sesuatu perlawanan berbanding pasukan lain yang memiliki barisan pemain tetap sepanjang musim.

"Sukar untuk saya cakap apa yang kita lakukan kerana kami kekurangan pemain. Hari ini (semalam) kita kumpulkan seberapa banyak pemain dari universiti.

"Jujur saya katakan, kita seperti pasukan kawan-kawan. Kumpulkan siapa yang mahu bermain. Ada pemain yang pernah sertai sesi latihan, ada pemain yang baru sertai pasukan hari ini," katanya ketika ditemubual oleh media tempatan.

Dalam aksi tertunda itu, gol Sabah diraih menerusi sepakan penalti Jafri Firdaus Chew pada minit ke-25 sebelum Farhan Roslan (m-29) dan Rizal Ghazali (m-39) menambah dua gol lagi sebelum berakhirnya babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua menyaksikan Sabah FC yang diberaksi di Piala AFC menambah empat lagi gol menerusi Irfan Fazail (m-57), Telmo Castanheira (m-68), Ramon Machado (m-70) dan S Kumaahran (m-89).

"Kita harus fikir begini semua pemain yang bermain adalah 17 tahun, 18 tahun, 20 tahun dan 21 tahun, dan ada yang baru main tahun ini.

"Kita tidak ada pemain yang kompetitif, mereka harus bersaing dengan mereka sendiri. Saya tidak salahkan pemain, ada (jika) pemain bagus dan kita berlatih serta ada banyak waktu persiapan, mungkin kita akan jadi lebih baik," tambah Vera.

TRW masih memiliki baki tiga aksi berdepan Kedah Darul Aman FC, PDRM FC dan Kelantan United sekali gus rekod bolos itu dijangka bertambah selepas ini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 3:35 PM