PEMAIN Selangor FC  Mukhairi Ajmal (kiri) cuba melepasi kawalan pemain  Kucing City FC Celio Ferreira Dos Santos.
PEMAIN Selangor FC Mukhairi Ajmal (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Kucing City FC Celio Ferreira Dos Santos.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tugasan mengendalikan Kuching City FC ketika ini adalah cabaran paling besar dihadapi Irfan Bakti sepanjang terbabit dalam bidang kejurulatihan.

Irfan melihat 11 rekod kekalahan pada musim ini paling buruk pernah dicatatkan sekali gus perlu melakukan sesuatu bagi memperbaiki pencapaian pasukannya.

Beliau berkata, Kuching City tidak boleh lagi terus tewas pada perlawanan seterusnya bagi memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super.

"Tak pernah dalam sejarah saya hadapi kekalahan demi kekalahan seperti ini. Selepas ini kami tak boleh lagi catat kekalahan tak kiralah di gelanggang sendiri atau lawan.

"Ini cabaran terhebat saya tetapi saya berterima kasih kepada pihak pegurusan yang terus beri kepercayaan kepada saya," katanya.

Pada perlawanan semalam menyaksikan Selangor FC merakam kemenangan ke-11 dalam saingan Liga Super musim ini apabila menundukkan Kuching City FC dengan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu turut menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe terus kekal berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 34 mata daripada 15 aksi setakat ini.

Selain itu, Irfan berkata beliau berpuas hati dengan persembahan para pemain pada perlawanan itu tetapi kecewa dengan keputusan.

Beliau juga mengakui masalah untuk menjaringkan gol menjadi punca pasukannya tidak mencatatkan keputusan yang baik dalam beberapa perlawanan.

"Saya kata kepada pemain kita bolos gol kurang daripada beberapa pasukan lain tetapi malangnya tidak menjaringkan gol. Saya harapkan pusingan kedua nanti dengan kehadiran beberapa pemain akan perkuatkan lagi bahagian serangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 9:28 PM