AKSI antara Kelantan dan Kuching semalam. FOTO Bernama
AKSI antara Kelantan dan Kuching semalam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Kelantan FC Angel Alfredo Vera mampu tersenyum selepas membantu pasukannya meraih satu mata selepas seri 2-2 bertemu Kuching City FC malam tadi.

Alfredo berkata, badi 11 kekalahan berturut-turut akhirnya terlerai sekali gus pasukannya kini tampil lebih bersemangat untuk mencipta kemenangan dalam saingan Liga Super.

"Kita datang sini dengan niat untuk mencuri mata berharga dan pujian wajar diberikan kepada pemain kerana memberikan tentangan sengit bagi memastikan misi tersebut berjaya dicapai.

"Ia bukanlah tugas mudah kerana sebahagian besar pemain yang kita turunkan adalah bawah 23 tahun dan ada yang berumur 18, 19 dan 20 tahun kerana ada tonggak utama yang cedera.

"Namun, mereka tidak kenal erti takut atau melihat sahaja apa yang dilakukan oleh Kuching City FC sekali gus mempamerkan semangat juang tinggi sehingga wisel penamat," katanya.

Pada aksi di Stadium Negeri, Kuching itu, skuad The Red Warrior meraih gol menerusi Mohamad Hafizan Ghazali dan Natanael Siringo Ringo.

Sementara itu, skuad The Cats yang dikendalikan oleh Firdaus Morshidi pula meraih jaringan hasil ledakan dua gol pemain import sensasi, Abu Kamara pada babak kedua.

Kemenangan tersebut menyaksikan The Red Warriors meraih mata pertama sejak kali terakhir melakukannya pada 17 Mac lepas dengan mengikat KL City dengan keputusan 2-2.

Keputusan itu bagaimanapun tidak boleh mengubah kedudukan semasa Kelantan FC yang kekal di tangga tercorot Liga Super dengan lima mengutip lima mata selepas mengharungi 16 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 3:56 PM