HODAK akur kekalahan pasukan bimbingannya kepada Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
HODAK akur kekalahan pasukan bimbingannya kepada Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kegagalan memanfaatkan rentetan peluang menjaringkan gol antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan KL City FC, 1-2, kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali pasukan itu, Bojan Hodak berkata, kekalahan pasukannya kerana gagal memanfaatkan peluang terbaik menjaringkan gol terutama pada separuh masa pertama selepas pemainnya berjaya menguasai permainan.

"Kami berjaya mencipta lebih peluang untuk mendapatkan gol tapi kami tak jangka kami bermain belum habis baik, jadi kami kehilangan permainan malam tadi.

"Biarpun menunjukkan usaha yang tinggi dan berjaya mempamerkan persembahan terbaik, namun peluang tidak dapat diterjemahkan dengan gol.

"Kami kalah dalam permainan kerana jelas Negeri Sembilan beraksi lebih baik," katanya selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Bojan enggan memberikan komen lanjut mengenai satu gerakan pemain pasukannya dalam kawasan gol Negeri Sembilan yang menimbulkan sedikit kontroversi dan dipersoalkan pemain pelawat itu kerana pengadil didakwa tidak menghadiahkan sepakan penalti.

Situasi itu berlaku pada penghujung perlawanan iaitu selepas Negeri Sembilan menjaringkan gol kedua.

"Saya tak boleh komen, saya nak lihat lebih teliti dulu video perlawanan," katanya ringkas.

Selepas menamatkan enam perlawanan, KL City FC kekal di tangga kelima carta Liga Super hasil dua kemenangan, satu seri dan tiga tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 6:46 PM