BARISAN pemain JDT  giat menjalani latihan bagi persiapan menentang KL City FC. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
BARISAN pemain JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang KL City FC. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Aksi pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang melayani kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok boleh diibaratkan sebagai 'pra final Piala FA'.

Ini kerana kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertembung pada pentas final di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini.

Begitu pun, pengendali JDT, Esteban Solari tampak mahu memberi fokus kepada aksi liga terlebih dahulu berbanding aksi final kerana pemburuan mata dan mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan menjadi agenda utama skuad Harimau Selatan.

Solari tanpa berselindung melabelkan pertembungan menentang skuad kendalian Bojan Hodak tetap dianggap sukar dan kerap beraksi dengan helah yang boleh memerangkap barisan pemain JDT tatkala mereka dibarisi pemain yang berkualiti.

"Mungkin mereka akan turun dengan barisan pemain berbeza berbanding ketika kami menentang pasukan itu pada pusingan pertama dan kami menang 3-0 dan mereka akan turun dengan lebih kompak selain beraksi secara berpasukan.

"Saya jangkakan KL City FC akan tampil dengan corak permainan lebih agresif dan pasti mereka mahu buktikan mereka pasukan yang terbaik selepas layak ke final Piala FA apabila menewaskan Terengganu FC di laman pasukan Terengganu.

"Sememangnya sukar untuk mana-mana pasukan menewaskan Terengganu di laman mereka dan kami pernah alaminya apabila berdepan kesukaran untuk tewaskan pasukan itu dan ia sekali gus menggambarkan KL City FC sedang berada di dalam mood terbaik," katanya.

Bekas pembantu jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu berkata, pasukan bimbingan Hodak meraih pengalaman bermakna pada aksi menentang Terengganu FC dalam aksi separuh akhir dan sudah pasti JDT tidak boleh mengambil sikap mudah pada pertembungan liga tatkala beraksi di laman sendiri.

Tambahnya, persiapan yang lebih mantap akan dibuat untuk pertembungan itu apabila berdepan pasukan yang sudah biasa beraksi dalam tekanan dan pasukan yang dilatih oleh jurulatih berpengalaman serta pemain yang memiliki kualiti di posisi serangan dan tengah.

"Saya tidak kata KL City sebuah pasukan merbahaya, sebaliknya pasukan itu lebih dianggap selaku pasukan yang harus kami berhati-hati kerana mereka bijak ambil kesempatan jika kami leka atau melakukan kesilapan mudah apabila beraksi di padang.

"Justeru setiap pemain JDT yang bakal diturunkan nanti harus mengambil sikap positif dan sentiasa peka dengan corak permainan pasukan lawan malah perlu kekal dengan permainan berintensiti tinggi dan mengikut perancangan taktikal yang dibentuk bagi memastikan kemenangan dapat diraih," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 12:03 PM