Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengakui tiga aksi bakal diharungi Harimau Selatan sebelum saingan Liga Super berehat dan kembali bersambung pada Julai depan tampak mencabar.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, tiga aksi yang diharungi adalah di laman lawan bermula dengan pertembungan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Jumaat ini bagi mengakhiri pusingan pertama.

"Bermula pusingan kedua kami akan ke Alor Setar berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 4 Mei disusuli menentang Penang FC pada 8 Mei.

"Selepas itu kami perlu siapkan pasukan mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Thailand.''

"Apapun, saya anggap ketiga-tiga aksi liga tampak sukar namun persiapan rapi tetap dilakukan selepas mengalami kekalahan pertama sejak 2019 dengan 21 perlawanan tanpa tewas dan ia beri motivasi yang lebih kuat kepada kami untuk bangkit.

"Kami akan berdepan Bojan (Hodak) yang pernah membimbing JDT dan ia satu yang menarik memandangkan beliau mengenali corak permainan beberapa pemain senior dalam pasukan JDT dan pastinya saya perlu mencorak taktikal yang lebih ampuh," katanya.

Bagaimanapun, kelibat Mauricio Nascimento dan S Kunanlan kemungkinan tidak dapat diturunkan pada aksi menentang KL City selepas dibelenggu kecederaan dan ia pasti mengundang gusar buat Mora untuk memperkukuhkan benteng pasukan.

Beliau menambah, apa yang perlu dibuat bagi memastikan tidak lagi keciciran mata ialah meningkatkan tahap kecergasan setiap pemain selain mengukuhkan keyakinan supaya mereka tidak beraksi dalam tekanan.

"Mungkin Mauricio dan Kunanlan tidak dapat diturunkan menentang KL City, namun itu bukan bererti kami tidak mempunyai pemain yang mampu menggalas tugas kedua-dua pemain itu.

"Apa yang kami inginkan, kami mahu bangkit daripada kekalahan ke atas Terengganu FC (TFC) kerana ia sudah beri pengajaran buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 2:07 PM