PEMAIN sensasi JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) meraikan jaringan ketika pasukannya membelasah KL City FC, 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO BERNAMA
PEMAIN sensasi JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) meraikan jaringan ketika pasukannya membelasah KL City FC, 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak memberi alasan kehilangan lima tonggak utama menjadi punca pasukannya dibelasah 1-6 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah, pengendali kelahiran Croatia itu menegaskan beberapa pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama selepas mengadu apabila mereka tidak diberi peluang beraksi nyata tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan.

"Apabila kami dihukum dengan jaringan 0-4 oleh JDT, beberapa pemain saya bagaikan beraksi seperti menjalani latihan tanpa melakukan tekanan terhadap pemain JDT yang mudah menguasai permainan, malah mereka beraksi seperti sedang 'bercuti'.

"Rata-rata pemain langsung tidak memberi sumbangan, mungkin mereka mahu tumpukan pada aksi final menentang JDT, 22 Julai ini dan bukan memberi sepenuh tumpuan dalam aksi liga.

"Tetapi terlalu awal untuk memikirkan mengenai aksi final itu kerana ada dua lagi perlawanan liga perlu diharungi.

"Pemain saya harus serius untuk dua aksi liga nanti kerana dari situ saya akan tentukan siapa akan beraksi di final dan bukan bermain sambil lewa tanpa menunjukkan semangat melawan terhadap pasukan lawan yang rakus menguasai permainan," katanya.

Hodak yang jelas kecewa dengan kualiti permainan anak didiknya terutama pada babak pertama menegaskan aksi mereka tidak masuk akal apabila gagal beraksi secara agresif untuk mengekang penguasaan skuad kendalian Esteban Solari.

Katanya, pada babak kedua, pemainnya mula beri tekanan apabila memiliki dua peluang terbaik untuk mencipta jaringan selepas berjaya merobek gawang JDT, tapi pemain tampak keletihan di penghujung perlawanan dan gagal mengekang asakan pemain JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 1:27 PM