Penyerang JDT, Bergson (kiri) giat menjalani latihan bagi persiapan menentang KL City FC. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Penyerang JDT, Bergson (kiri) giat menjalani latihan bagi persiapan menentang KL City FC. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap berwaspada dengan taktik permainan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, aksi berdepan skuad kendalian Bojan Hodak tampak sukar tatkala kelab dari Lembah Klang itu memiliki barisan pemain berkualiti selepas melihat rakaman video corak permainan pasukan itu.

"Seperti yang kita tahu aksi pertama mereka menentang Penang FC berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan itu dan mereka juga akan beraksi buat kali kedua di laman sendiri malah ia beri kelebihan buat pasukan itu.

"Tapi kami akan tampil dengan lebih mantap pada aksi itu nanti berbanding perlawanan pertama, baru-baru ini dan semestinya langkah memperbaiki apa jua kelemahan yang dikesan ketika menentang Terengganu FC (TFC) kerana enggan mengulangi kesilapan yang dilakukan.

"Walaupun tampak sukar tapi kami juga mahu kemenangan kedua kerana pasukan JDT sentiasa dahagakan kemenangan dan mahu menyerlah pada setiap perlawanan yang diharungi kerana kita boleh terlalu selesa selepas menang pada aksi pertama.

"Sebaliknya masih ada yang perlu diperbaiki dan ianya bukan kelemahan yang ketara tapi hanya sedikit sahaja kelonggaran yang saya lihat harus diperkemaskan lagi selain ketepatan mengumpan bola dan aspek menyerang untuk mencipta gol," katanya.

Ditanya sama ada akan berlaku penggiliran pemain yang bakal diturunkan menentang KL City FC, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan keputusan itu akan dibuat sehari sebelum perlawanan bagi menyenaraikan kesebelasan utama.

"Kami tidak memiliki kesebelasan pemain utama, tapi kesemua pemain yang berada di dalam skuad JDT adalah barisan pemain utama dan siapa sahaja layak untuk diturunkan dan seperti saya katakan ia persaingan yang sihat dan mereka haru beri yang terbaik ketika latihan untuk berada dalam skuad utama," kata Solari

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 11:06 AM