FORESTIERI giat menjalani latihan bagi persiapan menentang Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
FORESTIERI giat menjalani latihan bagi persiapan menentang Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Mampukah Johor Darul Ta'zim (JDT) mengulangi kejayaan membolot empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Liga Super dan Piala Malaysia pada musim 2022 tatkala tiga piala sudah berada di genggaman pada musim ini dan hanya menanti piala berprestij yang menjadi buruan.

Semuanya terletak kepada percaturan taktikal ampuh pengendali JDT, Esteban Solari bagi merealisasikan pemburuan kejuaraan 'quadruple' buat musim kedua berturut-turut apabila berdepan Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Apapun Solari tampak merendah diri dan menganggap final berdepan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner begitu mencabar buat barisan pemain JDT yang akan berdepan aksi berintensiti tinggi dan sengit.

Solari berkata, aksi final berbeza dengan saingan Liga Super memandangkan ia hanya diadakan satu perlawanan sahaja dan tempoh 90 minit permainan menjadi penentu siapa yang akan muncul pemenang dan menjulang Piala Malaysia pada musim ini.

"Ia perlawanan yang bakal diwarnai dengan permainan berintensiti tinggi dan saya lega selepas aksi menentang Sri Pahang, tempoh hari, tiada pemain yang mengalami kecederaan dan sekali gus memberi ruang untuk saya memfokus bagi membuat persiapan rapi untuk aksi final nanti.

"Selepas aksi menentang Pahang, fokus seterusnya adalah perlawanan akhir dan ia adalah sasaran utama kami malah kami akan bersedia untuk turun dalam aksi yang saya anggap begitu penting buat kami tatkala semakin hampir ke penghujung kancah Liga Malaysia (Liga M).

"Saya amat gembira dengan karakter setiap pemain yang menunjukkan kematangan apabila turun beraksi malah mereka pantas melupakan apa yang berlaku di Jepun dan seterusnya kami berada di fasa akhir untuk persiapan final Piala Malaysia," katanya.

Dalam dua pertembungan membabitkan JDT dan Terengganu FC pada aksi liga, skuad bimbingan Solari melakar kemenangan dengan menewaskan skuad kendalian Steinbruckner 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih, 29 Februari lalu dan menang lagi 3-1 di gelanggang lawan pada aksi 9 Jun lalu.

Solari menambah pertembungan di Bukit Jalil nanti yang juga gelanggang berkecuali buat skuad Harimau Selatan dan Terengganu FC dianggap sukar tapi percaya barisan pemain yang bakal diturunkan nanti bersedia untuk memberi persembahan terbaik bagi mengekalkan kejuaraan berprestij yang dimenangi pada musim lalu.

"Saya berpuas hati dengan sikap setiap pemain yang bukan sahaja bermain bola sepak dengan sistematik sebaliknya mereka memiliki keinginan untuk menang dalam setiap perlawanan malah mentaliti mahukan kemenangan menjadi kunci utama.

"Apapun masih ada lagi ruang harus diperbaiki tatkala akan beraksi di pentas final kerana aksi final pada musim ini amat bermakna walaupun kami sedar ia perlawanan sukar namun kami akan beri tentangan dan berusaha untuk menjulang kejuaraan," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 3:08 PM