NKUNKU (kiri) melambung selepas dibentes penyerang Greece pada perlawanan kelayakan Euro 2024, awal pagi semalam. FOTO AFP
NKUNKU (kiri) melambung selepas dibentes penyerang Greece pada perlawanan kelayakan Euro 2024, awal pagi semalam. FOTO AFP
AFP

London: Chelsea melengkapkan perpindahan penyerang Perancis, Christopher Nkunku dari RB Leipzig dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai £63 juta (RM373.1 juta).

Nkunku sudah bersetuju untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sejak Disember lalu dan kini kontraknya berjaya disempurnakan.

Pemain 25 tahun itu menandatangani kontrak enam tahun bersama The Blues, yang kembali aktif dalam pasaran perpindahan untuk bangkit daripada kempen mengecewakan.

"Chelsea dengan sukacita memaklumkan Christopher Nkunku akan menyertai kelab dari RB Leipzig menjelang musim 2023-24," kata Chelsea.

Nkunku antara bintang sedang meningkat naik dalam kancah bola sepak Eropah dan menjaringkan 23 gol dalam 36 perlawanan untuk Leipzig musim lalu.

Dia adalah pembelian besar pertama sejak Mauricio Pochettino disahkan sebagai pengendali baharu Chelsea pada Mei lalu.

"Saya amat gembira dapat menyertai Chelsea. Langkah yang besar diambil untuk membawa saya ke kelab ini.

Saya tidak sabar untuk bertemu jurulatih dan rakan sepasukan baharu serta membuktikan kepada penyokong Chelsea apa yang saya mampu lakukan di atas padang," kata Nkunku.

Nkunku, lulusan akademi bola sepak terkenal Perancis di Clairefontaine, bersama Paris Saint-Germain selama empat tahun sebelum berpindah ke Leipzig pada 2019.

Dia menyerlah bersama kelab Jerman itu dan dinobatkan sebagai pemain terbaik Bundesliga pada musim 2021-22 selepas meledak 20 gol dan melakukan 15 umpanan.

Musim berikutnya, dia meledak 23 gol ketika membantu Leipzig menduduki tangga ketiga Bundesliga dan menjaringkan gol dalam kemenangan final Piala Jerman menentang Eintracht Frankfurt.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 9:32 PM