OLMO (tengah) membuka jaringan Leipzig dengan menyempurnakan sepakan penalti. FOTO AFP
OLMO (tengah) membuka jaringan Leipzig dengan menyempurnakan sepakan penalti. FOTO AFP
AFP

Berlin: RB Leipzig memperkemaskan permainan mereka menjelang saingan Liga Juara-Juara menentang Liverpool dengan mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan Bundesliga menumpaskan Augsburg.

Mereka tidak terganggu dengan laporan pemain pertahanan, Dayot Upamecano akan menyertai Bayern Munich musim depan.

Berdasarkan laporan Kicker dan Bild, Bayern akan membayar €43 juta (RM210 juta) untuk aktifkan klausa membeli Upamecano yang mempunyai kontrak dengan Leipzig sehingga 2023.

Upamecano tidak diturunkan dalam perlawanan berkenaan walaupun berada di bangku simpanan.

Pengarah sukan Leipzig, Markus Kroesche berkata, Upamecano direhatkan menjelang perlawanan pertama Rabu ini menentang Liverpool yang bakal berlangsung di Budapest.

"Saya hanya menumpukan kepada perlawanan, saya tahu pemain itu akan ditebus kontrak namun saya ada perlawanan Bundesliga yang perlu difikirkan," kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann, yang enggan mengesahkan laporan mengenai Upamecano.

Liverpool dan Chelsea juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan pertahanan Perancis itu.

Leipzig membuktikan mereka sudah bersedia untuk berdepan Liverpool dengan meledak gol pada separuh masa pertama melalui Dani Olmo dan Christopher Nkunku.

Augsburg merapatkan jurang melalui pemain tengah, Daniel Caligiuri yang menyempurnakan penalti 13 minit sebelum perlawanan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 12:08 PM