BENZEMA ketika sesi latihan di Doha, 19 November lalu. FOTO AP
BENZEMA ketika sesi latihan di Doha, 19 November lalu. FOTO AP
AFP

Doha: Pemenang Ballon D'Or, Karim Benzema diketepikan daripada skuad Piala Dunia kerana kecederaan paha kiri sekali gus memberi tamparan hebat kepada Perancis untuk mempertahankan kejuaraan.

Kecederaan yang dialami pemain berusia 34 tahun itu ketika sesi latihan semalam menyaksikannya perlu melalui tempoh pemulihan selama tiga minggu, kata Persekutuan Bolasepak Perancis dalam satu kenyataan.

Penyerang Real Madrid itu bergelut dengan masalah kecederaan paha sejak Oktober lalu dan beraksi kurang daripada setengah jam dalam enam perlawanan terakhir untuk kelabnya.

Benzema menjalani ujian perubatan selepas meninggalkan sesi latihan semalam menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Australia.

Ia adalah kali pertama Benzema menyertai sesi latihan penuh sejak skuad bimbingan Didier Deschamps berkumpul di Clairefontaine Isnin lalu.

Di bawah peraturan Fifa, Deschamps boleh memanggil pengganti untuk pemain yang mengalami kecederaan sehingga Isnin iaitu menjelang aksi pertama menentang Australia.

Kecederaan Benzema pastinya merumitkan Deschamps yang sudah kehilangan khidmat pemain tengah, Paul Pogba dan N'Golo Kante; penjaga gol kedua, Mike Maignan; pertahanan, Presnel Kimpembe dan penyerang, Christopher Nkunku.

Benzema, yang bulan lalu memenangi Ballon d'Or, tidak beraksi sepenuhnya sejak 19 Oktober.

Dia dan Raphael Varane berlatih berasingan daripada skuad yang lain, Khamis lalu iaitu semasa sesi terbuka kepada media di stadium juara Qatar, Al Sadd.

Bek tengah Manchester United, Varane tidak beraksi satu perlawanan pun sejak dikeluarkan ketika menentang Chelsea pada 22 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:21 AM