NKUNKU dilaporkan bakal tersisih selama empat bulan selepas menjalani pembedahan lutut. FOTO AFP
NKUNKU dilaporkan bakal tersisih selama empat bulan selepas menjalani pembedahan lutut. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang Chelsea, Christopher Nkunku selesai menjalani pembedahan lutut yang boleh menyebabkannya tersisih lebih lama, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Nkunku, 25, yang juga penyerang antarabangsa Perancis menyertai Blues dari RB Leipzig dengan yuran perpindahan £63 juta (RM366.59 juta), Jun lalu.

BBC dan The Telegraph melaporkan Nkunku mungkin tersisih selama empat bulan.

Dia sebelum ini diharapkan akan mengetuai jentera serangan Chelsea yang berwajah baharu di bawah pengurus, Mauricio Pochettino.

Sudah pasti, perkembangan terbaru itu satu tamparan hebat buat mereka yang akan memulakan kempen EPL dengan melayan Liverpool pada Ahad ini.

Dalam satu kenyataan, Chelsea berkata: "Nkunku menjalani pembedahan lutut yang menyebabkan penyerang itu akan tersisih untuk jangka masa panjang.

"Penyerang berusia 25 tahun itu sudah dibedah dan akan menjalani program pemulihan dengan pemantauan jabatan perubatan kelab."

Nkunku yang terlepas final di Piala Dunia Qatar 2022 kerana cedera lutut, mengalami kecederaan terbaru itu ketika perlawanan pramusim menentang Borussia Dortmund di Chicago, minggu lalu.

Pochettino menyifatkan padang di Soldier Field sebagai 'tidak sempurna'. tetapi mengakui ia adalah risiko bermain di permukaan padang pelbagai guna dalam jelajah yang bernilai tinggi di Amerika Syarikat (AS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 9:15 PM