SILVA menjulang trofi Liga Juara-Juara.
SILVA menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Agensi

London: Peminat bola sepak mula kurang senang dan berang selepas Bernardo Silva muncul pemain terkini dikaitkan dengan perpindahan mega ke Arab Saudi.

Pemenang 'treble' bersama Manchester City dilaporkan menerima tawaran kontrak lumayan untuk menyertai Liga Pro Saudi.

Silva, 28, dijangka meninggalkan Stadium Etihad pada musim panas ini dan menurut The Athletic, ejennya Jorge Mendes mengadakan rundingan mengenai perpindahan ke Timur Tengah.

Liga Pro Saudi sudah pun menyaksikan kehadiran beberapa pemain ternama Eropah seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzem manakala N'Golo Kante, Hakim Ziyech, Wilfried Zaha, Sergio Ramos, Marco Veratti serta Roberto Firmino antara pemain yang mendapat tawaran mega untuk meninggalkan Eropah.

Dengan laporan terkini mendakwa Silva bakal menjadi pemain terbaru berpindah menyebabkan peminat berang dan mendakwa ia 'merosakkan' bola sepak.

Seorang peminat dalam ciapan di Twitter menjelaskan: "Arab Saudi merosakkan bola sepak."

Peminat kedua menyebut: "Saya bercakap untuk semua apabila saya berkata Arab Saudi perlu dihentikan."

Manakala peminat ketiga berkata: "Jika Bernardo Silva pergi, saya akan laporkan Arab Saudi kepada Fifa menerusi surat. Saya tak boleh melihat ini semua di depan mata saya."

Peminat keempat menambah: "Bernardo Silva ke Saudi???? Mereka perlu menyekatnya."

Kelab Saudi Al Hilal makin hampir menandatangani kapten Wolves Ruben Neves dengan harga £47 juta (RM278 juta) tetapi perpindahan Silva mungkin yang terbesar setakat ini.

Kontrak Silva di City berakhir 2025 dan menjadi idaman Barcelona sejak dua jendela perpindahan musim panas sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 1:16 PM