SILVA bersama pengurus Man City, Guardiola.
SILVA bersama pengurus Man City, Guardiola.
Agensi

London: Bernardo Silva ditawarkan kontrak menakjubkan £800,000 (RM4.73 juta) seminggu untuk berpindah dari Manchester City ke Liga Pro Saudi.

Arab Saudi bagaikan kemaruk menandatangani pemain ternama pada musim panas untuk meningkatkan daya tarikan liga mereka dan bintang Portugal itu dilaporkan antara sasaran utama mereka ketika ini.

Silva, 28, masih berbaki dua tahun kontrak dengan gaji £150,000 (RM887,000) seminggu di Etihad dan juara treble kendalian Pep Guardiola itu terdesak untuk terus mengekalkannya daripada berpindah ke kelab lain.

Mereka sudah pun menolak tawaran menarik Paris Saint-Germain selepas sebelum itu turut menafikan hasrat Barcelona yang meminati pemain itu sejak sekian lama.

Nou Camp menjadi pilihan Silva tetapi dengan yurannya £60 juta (RM354.97 juta), gergasi La liga itu terpaksa mengalih tumpuan kepada rakan sepasukannya di City yang juga ejen bebas Ilkay Gundogan.

Masa depan Silva kini tidak menentu. Dia tampak mahu mencari angin baharu dalam karier gemilangnya sekali gus membuka pintu kepada kelab Saudi untuk mencuba nasib menandatanganinya.

Dengan seorang lagi penyerang City Riyad Mahrez yang menjadi sasaran Al Ittihad - negara Teluk Tengah itu bersedia menawarkan gaji mega di samping yuran perpindahan £70 juta (RM414 juta) juga untuk menarik minat bekas pemain Monaco itu.

Pakej £41.6 juta (RM246 juta) setahun yang menanti Silva bermakna dia bakal mendapat gaji lima kali ganda berbanding diperoleh Manchester.

Walaupun Silva antara tonggak kejayaan City, dia tidak tersenarai dalam kelompok 10 pemain bergaji paling tinggi di kelab itu sekali gus sama taraf dengan pemain simpanan seperti Kalvin Phillips.

Walaupun identiti kelab Saudi yang mengejar Silva belum dapat disahkan, tetapi laporan mendakwa ia adalah Al Hilal.

Jika dia bersetuju dengan tawaran itu, Silva akan menyertai pemain bintang seperti N'Golo Kante, Ruben Neves dan bekas penyerang Real Madrid Karim Benzema di Liga Pro Saudi yang sebelum itu diwarnai lebih awal oleh Cristiano Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 6:21 PM