RONALDO tak layan permintaan pemain lawan.
RONALDO tak layan permintaan pemain lawan.
Agensi

Riyadh: Cristiano Ronaldo dikritik oleh pemain yang menyingkirkan Al-Nassr daripada Piala Arab Saudi selepas enggan bertukar jersi dengannya selepas tamat perlawanan.

Cengkaman Al-Nassr di puncak Liga Pro Saudi semakin longgar sejak beberapa minggu lalu selepas Ronaldo berpindah ke kelab itu Januari lalu. Mereka kini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Al-Ittihad yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Kedatangan bintang Portugal itu dengan kontrak rekod dunia £173 juta (RM963.92 juta) setahun mencetuskan harapan tinggi di Riyadh. Dia meledak 11 gol dalam 14 aksi liga untuk kelab baharunya tetapi merosot akhir-akhir ini sekali gus Al-Nassr gagal bertahan sebagai pendahulu liga.

Ronaldo gagal menjaringkan gol dalam tiga penampilan terakhir untuk kelabnya yang turut tersingkir daripada Piala Arab Saudi selepas tewas kepada Al-Wehda hasil jaringan tunggal penyerang Perancis Jean-David Beauguel.

Beauguel yang berusia 31 tahun semalam mendedahkan kekecewaannya mengenai sikap Ronaldo selepas tamat perlawanan itu.

"Saya agak kecewa," kata Beauguel kepada L'Equipe apabila memperkatakan pertemuannya dengan Ronaldo selepas perlawanan.

"Selepas berakhir perlawanan, saya beritahu Ronaldo yang saya adalah peminatnya dan meminta jersinya untuk ditukar dengan saya.

"Dia hanya berjabat tangan tanpa memandang saya dengan wajah yang serius. Saya faham dia kecewa dengan kekalahan itu tetapi sikapnya mengejutkan saya. Malah di atas padang, dia tampak kecewa dan hilang sabar apabila memarahi rakan sepasukan."

Beauguel turut berkata, impak Ronaldo sepatutnya lebih positif kepada bola sepak Arab Saudi.

"Masyarakat Saudi adalah peminat bola sepak dan kehadirannya dapat menarik lebih ramai pemain hebat sepertinya beraksi di sini sekali gus dapat memajukan pembangunan bola sepak, akademi dan pusat latihan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 9:01 AM