ANAK perempuan Ronaldo memakai jersi Liverpool. FOTO Twitter
ANAK perempuan Ronaldo memakai jersi Liverpool. FOTO Twitter
Agensi

London: Spekulasi perpindahan Mohamed Salah ke Arab Saudi menyebabkan jersi penyerang Liverpool itu laris di pasaran sehinggakan anak Cristiano Ronaldo turut tidak ketinggalan memakainya ketika bersiar-siar bersama ibu mereka Georgina Rodriguez.

Menurut Ben Jacobs, Kementerian Sukan Arab Saudi memperuntukkan £17 bilion (RM99 bilion)untuk bajet perpindahan pemain di Liga Pro Saudi sehingga 2030.

Antara pemain ternama turut dikaitkan dengan Liga Pro Saudi ialah bintang Liverpool Salah. Pegawai bola sepak Arab Saudi Hafez Al-Medlej menggesa liga utama negara Timur Tengah itu memulakan kerja untuk menandatangani Salah pada awal musim panas ini.

"Kita juga perlu mula bekerja untuk mendapatkan Mohamed Salah kerana dia sangat popular di dunia Arab dab Eropah," kata Al-Medlej yang juga pegawai di Persekutuan Bolasepak Asia dan Liga Pro Saudi.

"Saya fikir Salah masih ada rekod yang mahu dipecahkan bersama Liverpool, jadi saya harap jika dia tidak datang sekarang, dia akan datang pada masa hadapan."

Isteri Ronaldo, Georgina Rodriguez memuatnaik foto bersama anaknya di salun dan salah seorang anak perempuan mereka memakai jersi Liverpool dengan nama Salah tertera di belakang.

Sudah pasti Ronaldo menjadi tarikan Liga Pro Saudi selepas perpindahan meganya ke Al Nassr awal tahun ini dan anaknya yang berjersi Liverpool menguatkan spekulasi Salah bakal mengikut jejak pemenang lima kali Ballon d'Or itu berpindah ke Timur Tengah.

Salah antara pemain cemerlang Liverpool musim lalu dengan meledak 30 gol dan mencipta 16 bantuan jaringan dalam 51 perlawanan semua kejohanan. Dalam tempoh enam tahunnya di Merseyside, bintang Mesir itu menjaringkan 186 gol dalam 305 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 6:49 PM