GERRARD bersama Presiden  Al Ettifaq  Khaled Al Dabal.
GERRARD bersama Presiden Al Ettifaq Khaled Al Dabal.
Agensi

London: Steven Gerrard menjadi tular di media sosial susulan ucapannya dalam bahasa Arab selepas Al Ettifaq mengesahkan dia sebagai pengurus baharu mereka.

Gerrard tidak bekerja sejak dipecat Aston Villa pada Oktober lalu namun mendapat tawaran menarik beberapa kelab termasuk daripada kelab Arab Saudi yang pada mulanya hanya dianggap spekulasi namun disahkan Gerrard akhirnya.

Dia berkunjung ke Timur Tengah tetapi kemudiannya berkata dia tidak akan menerima tawaran pada Jun.

Bagaimanapun, bekas bintang Liverpool dan kapten England itu berubah hati selepas beberapa pemain berprofil tinggi berpindah ke Liga Pro Saudi.

Bekas pengendali Rangers itu menandatangani kontrak dua tahun dengan Al Ettifaq yang menduduki tangga ketujuh dalam saingan liga musim lalu.

Pelantikannya diumumkan kelab semalam dan disusuli video klip ringkas Gerrard, 43, cuba berbahasa Arab yang ditujukan khas untuk penyokong kelab baharunya.

Video klip terbabit disertakan dengan terjemahan: "Saya Steven Gerrard. Saya Ettifaqi. Jumpa anda tidak lama lagi."

Ketika tindakan Gerrard itu wajar dihargai, kalangan warga net tampak memperlekehkan usahanya itu.

Seorang peminat ketawa: "Bunyi Arabnya membuatkan saya menangis."

Peminat kedua berkata: "Pelat 'scouse'nya dan bahasa Arab sesuatu yang saya tak pernah dengar dalam hidup saya.

Seorang lagi berkata: "Ini lebih teruk daripada Joey Barton cuba berbahasa Perancis" manakala peminat keempat dengan nada bergurau: "Saya ketika mengambil peperiksaan GCSE Spanish Speaking."

Seorang lagi seperti memperli Gerrard apabila berkata: "Beritahu seluruh Arab Saudi dia suka bermain bola sepak dengan rakan sepasukan dan warna kegemarannya ialah hijau."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 10:29 PM