PRESIDEN SAFF Yasser al-Misehal. FOTO AFP
PRESIDEN SAFF Yasser al-Misehal. FOTO AFP
Agensi

London: Liga Divisyen Tiga Arab Saudi menawarkan peluang kepada pemain asing yang berminat beraksi di negara itu dengan gaji £3,000 (RM17,000) seminggu berserta rumah dan kereta baharu.

Arab Saudi semakin mencipta impak dalam dunia bola sepak tahun ini menerusi pelaburan berbilion pound.

Menerusi tawaran mega kepada pemain ternama yang semakin menghampiri penghujung karier, Liga Pro Saudi menjadi rumah kepada bintang seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, N'Golo Kante, Ruben Neves, Roberto Firmino, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy.

Namun, Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) tampak kini tidak hanya menghadkan aktiviti perpindahan kepada pemain terkenal dalam saingan liga utama mereka.

Badan bola sepak negara itu dilapor mengiklankan tawaran mencari pemain untuk beraksi di Divisyen Tiga.

Dalam iklan di Futbol Jobs tertera SAFF memerlukan segera penyerang tengah, pemain sayap, pemain tengah menyerang, pemain tengah bertahan dan pertahanan berkualiti dari luar negara.

Iklan di portal itu yang menarik minat 170,000 pengguna menjanjikan gaji sehingga £3,000 seminggu berserta rumah dan kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 10:31 PM