AIMAN (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika membelasah Papua New Guinea 10-0, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
AIMAN (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika membelasah Papua New Guinea 10-0, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad Harimau Malaysia berpesta gol selepas membelasah Papua New Guinea (PNG) 10-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.

Pemain sedang meningkat naik Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Arif Aiman Mohd Hanapi meledak empat gol manakala penyerang naturalisasi, Paulo Josue mencipta hatrik.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon melakukan lima pertukaran pemain dalam kesebelasan utama berbanding ketika menang 4-1 ke atas Kepulauan Solomon, minggu lalu.

Skuad negara mencipta deretan peluang pada babak pertama, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Pada minit ketujuh, pemain pertahanan, Azam Azmi Murad terlepas peluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama apabila rembatannya tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Skuad Harimau Malaya yang mendominasi permainan sejak awal permainan mendapat peluang terbaik untuk mendahului pada minit ke-12 dan 17, namun gagal disudahkan Endrick Dos Santos dan Akhyar Rashid, begitu juga dua peluang terbaik termasuk satu lawan satu diperoleh Safawi Rasid pada minit ke-28 dan 30, gagal menemui jaringan.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Indonesia, Yudi Nurcahaya selepas Akhyar dijatuhkan Solomon Rani pada masa kecederaan babak pertama.

Sepakan penalti yang diambil Safawi meletakkan Harimau Malaya mendahului 1-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.

SAFAWI (dua dari kiri) membuka jaringan skuad negara menerusi sepakan penalti. FOTO GHAZALI KORI
SAFAWI (dua dari kiri) membuka jaringan skuad negara menerusi sepakan penalti. FOTO GHAZALI KORI

Sepanjang babak pertama, skuad Papua New Guinea kendalian Harrison Kamake hanya mendapat satu percubaan tepat menerusi penyerangnya, Ati Kepo.

Bersambung babak kedua, Pan-gon memasukkan tiga tenaga baharu, Faisal Halim, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Daniel Ting bagi menggantikan Safawi, Akhyar dan Corbin Ong.

Percaturan itu ternyata menjadi apabila gerakan skuad kebangsaan lebih tersusun, hasilnya pada minit ke-52, Paulo Josue meledak jaringan kedua untuk mendahului 2-0.

Lima minit berselang, Arif Aiman bijak memanfaatkan peluang terhidang dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol apabila menjaringkan gol ketiga Harimau Malaya.

Pemain Harimau Malaya bagaikan 'dirasuk' apabila Faisal menjaringkan gol keempat hanya seminit selepas jaringan ketiga.

Gol kelima dihasilkan pada minit ke-59 menerusi Arif Aiman yang juga jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan itu.

Pesta jaringan skuad kebangsaan berterusan apabila Josue menjaringkan gol keenam dan kedua peribadinya pada minit ke-64 untuk mendahului 6-0.

Pada minit ke-70, Josue mencipta hatrik yang juga gol ketujuh negara sebelum Danial Ting menambah gol kelapan pada minit ke-76.

Penyerang paling muda, Arif Aiman menambah derita pelawat apabila meledak jaringan kesembilan dan ke-10 Harimau Malaya pada minit ke-86 dan 88, sekali gus menutup malam gemilang skuad kebangsaan dengan kemenangan besar 10-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 11:05 PM