Harrison Kamake (kiri) bersama pemainnya, Raymond Gunemba pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Papua New Guinea, esok. FOTO GHAZALI KORI
Harrison Kamake (kiri) bersama pemainnya, Raymond Gunemba pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Papua New Guinea, esok. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Papua New Guinea, Harrison Kamake memandang tinggi keupayaan pasukan Malaysia lebih-lagi skuad kendalian Kim Pan-gon itu berada di ranking jauh lebih baik berbanding skuad kendaliannya.

Jelas Kamake, selepas terikat 2-2 berdepan Singapura pada aksi persahabatan di negara berkenaan pada Jumaat lalu, beliau begitu positif sambil mengharapkan akan ada peningkatan corak permainan yang bakal diperagakan anak buahnya pada pertemuan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada malam esok.

Tambah jurulatih berusia 50 tahun itu, beliau juga meletakkan harapan yang tinggi agar anak buahnya dapat mengikut segala perancangan yang diatur dengan aksi terbaik bagi 'menjerat' pasukan Harimau Malaya.

"Selepas seri dengan Singapura, saya memandang positif perlawanan menentang pasukan Malaysia, saya harap akan ada peningkatan permainan yang dipamerkan pemain dengan mengikut segala tugas yang telah diberikan kepada mereka dengan baik.

"Lagipun pasukan yang saya bawa pada kali ini lebih bersedia berbanding sebelum ini di mana mereka dibentuk sejak 2022 lagi, jadi kami harap mereka dapat memberikan sesuatu dalam perlawanan itu walaupun sedar ranking kami lebih rendah berbanding lawan.

"Namun itu atas kertas, di padang adalah sebaliknya, jadi tunggu aksi kami nanti," kata Kamake ketika bercakap pada sidang media di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Kuala Nerus, sebentar tadi.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini, skuad kebangsaan pernah tewas 2-0 kepada skuad itu pada aksi yang berlangsung di negara berkenaan pada Jun 2016 sebelum skuad negara membalas dendam hasil kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada November 2016.

Ketika ditanya pemain Malaysia yang perlu diberikan perhatian oleh anak buahnya, jurulatih kelahiran Papua New Guinea itu tanpa berselindung akui kapten kebangsaan, Faisal Halim antara pemain yang perlu 'digari' dalam perlawanan itu nanti.

"Ada beberapa pemain skuad Malaysia yang perlu diberikan perhatian dan dikawal ketat terutamanya kaptennya, tapi kami tetap fokus kepada perlawanan dan akan menilai keseluruhan persembahan pasukan.

"Lagipun majoriti pemain yang saya bawa ini adalah kali pertama mewakili pasukan negara, sudah pasti mereka begitu bersemangat selain bakal mengamalkan corak permainan pantas untuk mengintai kemenangan," katanya.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-138 dunia berbanding lawan di kedudukan ke-159 dunia dilihat berpeluang cerah untuk meneruskan momentum kemenangan keempat pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 musim ini terutama masih segar selepas 'membaham' pasukan di tangga ke-134 dunia, Kepulauan Solomon 4-1 minggu lalu hasil jaringan Paulo Josue, Arif Aiman Mohd Hanapi, Safawi Rasid dan Lee Tuck.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 3:57 PM