PEMAIN skuad B-17 negara menjalani latihan menjelang aksi menentang Yaman di Piala Dunia B-17 di Bangkok. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-17 negara menjalani latihan menjelang aksi menentang Yaman di Piala Dunia B-17 di Bangkok. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Jangan lakukan kesilapan mudah."

Itu peringatan kapten skuad Bawah 17 (B-17) tahun negara, Afiq Danish Hasniruddin kepada rakan sepasukan menjelang aksi pertama Kumpulan A Piala Asia B-17 menentang Yaman di Stadium Thammasat, Bangkok, petang esok.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan pasukan negara meraih keputusan positif nanti, selepas kekalahan dalam dua aksi persahabatan kepada Uzbekistan dan Arab Saudi pada minggu lalu mendedahkan beberapa kelemahan terutama kesilapan mudah.

"Perkara positif dari dua aksi persahabatan itu adalah, sebelum ini kita fikir kita bagus, tetapi kini kita tahu belum cukup bagus.

"Jadi kita jangan selesa, kena tingkatkan lagi prestasi. Semua pemain pernah berada dalam prestasi terbaik, kalau kita boleh buang kesilapan kecil, mungkin prestasi lebih baik boleh ditampilkan," katanya.

Selain Yaman, skuad Harimau Muda turut akan bersaing dengan Laos dan Thailand untuk memburu dua kedudukan terbaik kumpulan bagi mara ke suku akhir.

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran layak ke separuh akhir bagi membolehkan pasukan meraih tiket ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

Afiq yakin semua pemain mempunyai kemampuan untuk memberikan aksi terbaik dan bermain mati-matian bagi melangkah hingga ke peringkat separuh akhir.

"Kalau dulu kita tak layak (ke separuh akhir) kita kata tak apa, tetapi sekarang ini saya berasa jika kita tak layak, memang akan sedih dan kecewa dengan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:23 PM