WALAUPUN bulan Ramadan, pemain tunjukkan semangat juang tinggi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
WALAUPUN bulan Ramadan, pemain tunjukkan semangat juang tinggi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara dilihat berada pada landasan terbaik menjelang saingan Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand yang dijadual berlangsung dari 15 Jun hingga 2 Julai depan.

Ia susulan kemenangan pertama diraih oleh skuad kendalian Osmera Omaro di Qatar apabila mudah membenam Al Arabia SC 4-2 di Pusat Latihan Universiti Qatar, Doha, malam tadi.

Aksi itu adalah sebahagian daripada tiga siri perlawanan persahabatan yang diatur untuk skuad Harimau Muda itu sebagai persiapan sebelum ke Bangkok, Jun ini.

Arena Metro yang berjaya menghubungi pengurus pasukan negara, Christopher Raj yang berada di Qatar mengakui keadaan pasukan kini berada pada tahap optimum dan masing-masing bersaing hebat untuk menarik perhatian jurulatih.

"Pemain-pemain sekarang dalam semangat tinggi dan bekerja keras dalam latihan dan perlawanan. Walaupun bulan Ramadan, pemain tunjukkan semangat juang tinggi," katanya ringkas kepada Arena Metro.

Skuad B-17 yang tiba di Qatar Ahad lalu dijadual mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan esok dan lusa sepanjang kem latihan selama hampir dua minggu sebelum pulang ke tanah air pada 21 April ini.

Kem latihan ini adalah pemilihan fasa 2 babitkan seramai 25 pemain yang di bawa ke Qatar kali ini, sekali gus membuka peluang buat pemain merebut tempat sebelum senarai akhir dimuktamadkan nanti.

Saingan di Bangkok, Thailand nanti menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Thailand, Laos dan Yaman.

Sasaran pasukan negara di Piala Asia itu adalah layak ke separuh akhir bagi membolehkan anak buah Osmera beraksi di Piala Dunia B-17 pada hujung tahun ini.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad B-17 negara adalah peringkat suku akhir pada 2014 apabila tumpas kepada Australia 1-2 di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 3:34 PM