Suraya Roslan


Kajang: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menangguhkan prosiding jatuh hukum terhadap seorang pengasuh sebuah Taska atas tuduhan dengan sengaja mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin mengalami kecederaan fizikal, pada 24 September ini.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan penangguhan hukuman terhadap Nor A'in Ismail, 24, yang sedang hamil sembilan bulan selepas peguam, S Priyalatha yang mewakili wanita itu memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya dijangka akan bersalin minggu depan.

"Kami ingin membuat permohonan supaya jatuh hukum ditetapkan kepada satu tarikh baharu iaitu selepas tertuduh bersalin dan berpantang.

"Setakat hari ini, tertuduh masih mengekalkan pengakuan bersalah dan laporan forensik serta perubatan mangsa juga sudah selesai," katanya.

Priyalatha berkata, anak guamnya hadir pada prosiding hari ini, dalam jaminan mahkamah dan ia jelas menunjukkan tertuduh akan memberikan kerjasama penuh sehingga kes selesai.

Mendengar permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan tidak membantah untuk menunda jatuh hukum ke tarikh lain dengan mengambil kira faktor kemanusiaan dan keadaan tertuduh yang sedang sarat mengandung.

Pada 6 Jun lalu, Nor A'in membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Mazuliana.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lima bulan didapati dengan sengaja mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah Taska di Bandar Mahkota Cheras, di sini, jam 4.15 petang, 28 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, media melaporkan, polis menyiasat aduan seorang bapa yang mendakwa anak perempuannya berusia 17 bulan didera pengasuh Taska di Bandar Mahkota Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dipetik berkata, pengadu yang juga pemandu e-hailing mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar oleh pengasuh apabila rambut mangsa ditarik dan hidungnya dipicit ketika disuapkan makanan hingga cedera.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 2:17 PM