HUSSEIN Omar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam.  FOTO Faiz Anuar
HUSSEIN Omar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Siasatan berkaitan penyebaran gambar memaparkan keadaan kecederaan pada mayat didakwa kanak-kanak mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sebelum ini menerima satu laporan berkaitan penyebaran gambar berkenaan dibuat oleh pegawai penyiasat kes.

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, ada satu laporan polis berkaitan bahan bukti diviralkan. Siasatan itu diambil alih oleh unit USJT Bukit Aman yang akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi.

"Laporan berkenaan dibuat oleh pegawai penyiasat pada 30 Jun lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, tadi.

Ketika ditanya sama ada wujud pembabitan `orang dalam' berhubung penyebaran gambar itu, Hussein menegaskan perkara itu dalam siasatan polis.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar dikatakan keadaan mayat Zayn Rayyan ketika prosedur proses bedah siasat di aplikasi media sosial.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Petaling Jaya, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Pada 13 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Dalam perkembangan berasingan, Hussein berkata 22 individu dirakam percakapan berhubung kes keracunan makanan di sebuah program sekolah agama di Gombak yang menyebabkan dua maut pada Jun lalu.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pandangan dan keputusan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 2:46 PM