Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun ini dan Papua New Guinea pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak dihadiri 24 pemain.

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menjelaskan, dua pemain iaitu Nooa Laine dan Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi akan melaporkan diri dalam masa terdekat manakala penyerang muda skuad KL City FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli mungkin terpaksa diketepikan kerana masalah kesihatan.

Jelas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, Laine yang beraksi bersama kelab di Finland dijangka tiba selewatnya-lewatnya pada Isnin ini manakala Shahrel Fikri akan melaporkan diri dalam kem skuad Harimau Malaya pada Ahad.

"Pada hari pertama latihan pusat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semua 24 pemain melaporkan diri termasuk pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan seorang pemain Terengganu FC (TFC) walaupun baharu beraksi pada malam tadi.

"Namun Nooa bakal tiba dari Finland pada Isnin ini dan dijangka bersama kem latihan pasukan kebangsaan bermula Selasa manakala Shahrel Fikri pula yang membantu pasukannya, Negeri Sembilan FC menentang Sri Pahang FC pada malam tadi meminta pelepasan untuk melaporkan diri pada Ahad.

"Mengenai Haqimi Azim pula, setakat ini kita menunggu laporan kecederaan selepas dimaklumkan mengalami masalah kesihatan, namun saya rasa dia akan diberi rehat dalam aksi persahabatan pada kali ini.

"Ketiadaan pemain tinggi lampai itu tiada pengganti, kita akan kekal dengan senarai 26 pemain bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa itu," kata Pan-gon.

Latihan pertama skuad kebangsaan pada hari ini bermula pada jam 7 malam kerana faktor cuaca, latihan lebih tertumpu kepada aktiviti fizikal selain latihan ringan lebih satu jam.

Pada aksi persahabatan kali pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Pan-gon menyenaraikan sepuluh muka baharu untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan iaitu pemain kelahiran Terengganu, Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.

Beliau turut menyenaraikan kembali bekas pemain kebangsaan iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal, Shahrel Fikri dan penjaga gol, Azri Ab Ghani serta muka baharu, Syahir Bashah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 9:42 PM