AKSI liga super musim ini. FOTO Bernama
AKSI liga super musim ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jurang umpama 'langit dan bumi' nyata jelas dalam saingan Liga Super musim ini yang membabitkan antara kelompok pasukan lapan teratas berbanding sembilan pasukan ke bawah, yang membabitkan pasukan dari Liga Perdana musim lalu.

Lapan pasukan teratas liga yang majoritinya adalah pasukan dari Liga Super musim lalu dilihat terlalu dominan, hingga mengakibatkan banyak keputusan perlawanan menyaksikan pasukan elit terbabit mudah membelasah kelompok bawahan dengan jumlah jaringan besar.

Lebih mengejutkan, kekalahan besar itu dicatatkan di gelanggang pasukan bawahan yang sepatutnya menjadi kubu kuat tuan rumah, ataupun sekurang-kurangnya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan.

Situasi terbabit sebenarnya didorong jurang kualiti antara pasukan gergasi dalam Liga Super yang sukar dicabar oleh kelab kecil seperti Kelantan United, Kuching City FC, Perak FC, Kelantan FC dan PDRM FC yang naik ke divisyen satu, selepas perubahan sistem liga membabitkan 14 pasukan musim ini.

Jika dipandang dari sudut positif, sememangnya langkah penambahan pasukan itu baik bagi meningkatkan tahap komersial Liga Super, namun apabila dirungkai daripada aspek kualiti dan impak kepada skuad kebangsaan, ia sebenarnya sedikit membimbangkan.

Perkara terbabit diakui ejen tersohor negara, Effendi Jagan Abdullah yang secara peribadi menyifatkan terdapat jurang terlalu jauh antara kelompok atasan dan bawahan.

Jelas Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, senario semasa liga domestik baginya perlu dikaji semula kerana terdapat beberapa pasukan sebenarnya tidak bersedia untuk bersaing di tahap tertinggi Liga Supe.

"Niat saya bukan untuk mengkritik tetapi ini adalah pandangan sekaku pemerhati yang cintakan bola sepak negara.

"Pada saya, liga kita sekarang ada dua 'kelas' yang sangat jauh antara atasan dan bawahan. Kita tahu, pasukan bawahan itu semuanya dari Liga Perdana tahun lalu, dan nampak jelas sekali mereka tidak bersedia untuk main di Liga Super.

"Keadaan ini sebenarnya menyebabkan jurang yang sangat jauh. Kita boleh lihat beberapa keputusan di mana ada pasukan kuat menang sampai 5-0 dan 6-0. Bukan sekali, tetapi keputusan itu babitkan semua perlawanan antara pasukan atasan dan bawah.

"Situasi ini akan beri kesan tidak baik kepada ekosistem bola sepak. Di mana penyokong sudah boleh jangka dari awal keputusan dan ia akan menyebabkan penyokong kurang minat dan liga kita akan hilang seri.

"Keduanya, kita kena faham untuk membina skuad kebangsaan atau pasukan negara yang kuat, liga kita perlu kompetitif dan ada persaingan. Tapi kalau tiada persaingan, agak sukar untuk kita dapatkan skuad negara yang kuat.

"Asas kewujudan liga domestik sebenarnya untuk membantu pasukan kebangsaan agar lebih mantap dan bersedia. Jadi perlu ada penilaian sewajarnya untuk kebaikan liga kita," katanya kepada Arena Metro.

Antara langkah bagi mengatasi masalah ini, Effendi mencadangkan agar Liga Super dimainkan lapan pasukan terbaik sahaja."Biarlah kita main lapan pasukan saja, asalkan semua itu berkualiti dan bersedia dari segi kewangan dan fasiliti.

"Daripada lapan pasukan itu, boleh saja main tiga pusingan bagi memberi jumlah perlawanan liga yang mencukupi mengikut piawaian bola sepak antarabangsa.

"Biar sikit tapi kualiti liga kita bagus…daripada pasukan yang bertanding banyak tapi beberapa pasukan tak bersedia hingga selalu kena belasah saja. Kita mahu setiap pemain dapat merasai cabaran dan persaingan sengit kerana akhirnya ia akan menyumbang kepada skuad kebangsaan," katanya.

Untuk rekod, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat perubahan dalam Liga M musim ini apabila menambah bilangan penyertaan pasukan kepada 14 pasukan berbanding 12 pasukan, dengan Liga Perdana dimansuhkan sekali gus menyaksikan beberapa pasukan dari divisyen dua dinaikkan pangkat tanpa merit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 4:19 PM