PEMAIN Kelantan (jersi merah) hanya mampu memerhatikan pemain Sabah (jersi putih) meraikan kemenangan 7-0 pada aksi Liga Super, malam tadi. FOTO FB MFL
PEMAIN Kelantan (jersi merah) hanya mampu memerhatikan pemain Sabah (jersi putih) meraikan kemenangan 7-0 pada aksi Liga Super, malam tadi. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tahap profesionalisme Liga Malaysia (Liga M) nampaknya berada pada tahap kritikal susulan 'rekod baharu' dilakar Kelantan FC apabila dibolosi 102 gol dalam 23 aksi Liga Super setakat ini dan ada lagi baki tiga perlawanan selepas ini.

Ia turut menggambarkan perbezaan kualiti antara pasukan bangsawan dan skuad kerdil.

Pandangan itu dilontarkan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang menyifatkan saingan Liga M berada situasi 'tidak sihat' hingga wujudnya jurang amat besar membabitkan beberapa pasukan khususnya pasukan yang mempunyai bajet ciput.

"Bagi saya, apa yang berlaku ini menggambarkan suasana liga yang tidak sihat apabila pasukan kecil nyata tidak mampu memberi saingan kepada pasukan lebih besar.

"Situasi ini dapat dilihat ke atas beberapa pasukan seperti Kelantan FC, Kelantan United dan Kuching City yang agak tertekan apabila perlu bersaing dengan pasukan besar dan memang benar wujudnya jurang bagai langit dan bumi.

"Jelas sekali tahap profesionalisme dalam aspek pengurusan, permainan dan pemain tidak ada, serta profesionalisme dalam persaingan antara pasukan pun tiada.

"Bagi saya pasukan seperti Kelantan sebenarnya belum bersedia untuk bersaing di pentas Liga Super dan atas sebab itu mereka gagal beri impak berkesan dalam setiap perlawanan," katanya ketika dihubungi.

Ujarnya, isu dalaman skuad The Red Warriors (TRW) sejak awal musim termasuk masalah tunggakan gaji, isu jurulatih dan pemain import nyata memudaratkan lagi pasukan itu.

Katanya, masalah utama Kelantan FC adalah pengurusan yang lemah dan tidak profesional dalam menangani pelbagai isu.

Menurutnya, ia bermula dengan isu pemecatan jurulatih dari Korea Selatan hinggalah kegagalan mendaftarkan pemain import.

"Malah, kita dapat lihat seolah-olah pemain memberi protes di dalam padang ekoran isu tunggakan gaji dan ia dapat dilihat menerusi keputusan diraih.

"Apabila masalah pokok iaitu gaji berlaku, inilah padahnya dan apa yang berlaku ini memang mencemarkan imej bola sepak Kelantan dan negara apabila satu dunia memerhatikan kita," katanya.

Malam tadi, Kelantang tumbang 0-7 di tangan Sabah FC dalam saingan Liga Super untuk menghimpun rekod bolos terbanyak liga domestik sejak ia dijalankan secara profesional sepenuhnya pada 1994.

Untuk rekod, sebelum ini rekod bolos terbanyak dicatatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 75 gol bolos pada 2009 dan sebelum itu Melaka menerusi 72 gol bolos pada 2007.

Berbaki tiga perlawanan lagi, jumlah bolos Kelantan FC itu dijangka bertambah lagi apabila dijadual menentang Kedah Darul Aman FC, PDRM FC dan Kelantan United selepas ini.

Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengkaji semula struktur Liga M.

"Bagi saya pasukan kecil seperti Kelantan FC ini masih tidak cukup matang untuk bermain dengan JDT (Johor Darul Ta'zim), Selangor FC mahupun Sabah FC.

"MFL perlu mengkaji semula sistem 14 pasukan, lebih baik kurangkan pasukan dengan kelab besar yang memiliki kekuatan kewangan bersaing dalam liga dan jika perlu main sebanyak tiga pusingan untuk beri jumlah perlawanan yang ideal.

"Apabila tahap liga utama cukup sengit membabitkan pasukan besar, sudah tentu penaja akan bertambah dan melabur kerana mereka yakin dengan tahap profesionalisme yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 6:27 PM