TUNKU Ismail berangkat menyaksikan perlawanan Piala FA antara JDT dan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat lalu. FOTO FB JOHOR SOURTHERN TIGERS
TUNKU Ismail berangkat menyaksikan perlawanan Piala FA antara JDT dan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat lalu. FOTO FB JOHOR SOURTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim beranggapan pasukannya cukup dominan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini adalah disebabkan beberapa faktor.

Jelas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), ia termasuk perubahan format liga yang tiada penyingkiran membuatkan kebanyakan pasukan dilihat terlalu selesa.

Beliau berkata, mungkin ramai mendakwa JDT cukup kuat dan sukar untuk ditumbangkan, namun sebenarnya mentaliti selesa yang ada pada beberapa pasukan serta perancangan tidak sempurna pasukan lain menyebabkan skuad Harimau Selatan kelihatan mantap.

"Bukan saya nak mempersoalkan (persiapan pasukan lain), tapi saya rasa kita (JDT) tidak begitu kuat kalau nak bandingkan analisis kami tahun lepas.

"Kami kuat beberapa peratus sahaja (musim ini), tetapi mungkin ada kekurangan itu datang daripada pasukan lain dan 'mindset' dan mentaliti selesa apabila MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tukar format pertandingan.

"Di mana tak ada lagi penyingkiran. Jadi tak ada naik dan tak ada penyingkiran...jadi pasukan tahu kalau kalah setiap perlawanan pun, mereka masih ada di Liga Super. Jadi di sini pun main peranan juga," katanya ketika ditemui warga media sukan pada majlis berbuka puasa bersama Tunku Ismail di Johor Bharu, semalam.

Pada musim ini, beberapa perubahan dilakukan MFL dalam kalendar bola sepak tempatan apabila buat pertama kalinya 14 pasukan bertanding di Liga Super dan tiada lagi saingan Liga Perdana, yang juga piramid kedua kepada sistem Liga M.

Sebaliknya, ia digantikan dengan saingan Piala MFL membabitkan kelompok pemain bawah 23 tahun serta dibenarkan kehadiran beberapa tonggak import bagi meningkatkan kualiti saingan itu.

Tunku Ismail menolak pandangan yang menyatakan pasukannya amat kuat hingga agak sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana pasukan.

Sebaliknya, beliau menegaskan resipi kejayaan adalah mengenai persiapan dan perancangan rapi yang disusun dengan sebaik-baiknya.

"Walaupun dengan pencapaian luar biasa tahun lalu apabila kami menang empat piala dan tidak pernah tewas dalam setiap pertandingan domestik, tetapi saya masih nampak ada kekurangan yang saya tidak berpuas hati.

"Persiapan adalah kunci kejayaan pada saya, macam kita lawan (jelajah pramusim) pasukan kuat di Dubai, saya nak pasukan ini sentiasa lawan dengan pasukan yang ada intensiti tinggi.

"JDT taklah begitu kuat kerana bagi saya kalau nampak sangat kita kuat, bermakna anda perlu tanya soalan itu kepada pasukan lain.

"Bukan kami yang kuat...agak-agak oleh kerana perancangan yang salah, yang lain makin tak kuat?. Jadi selalu orang nampak JDT makin kuat, JDT makin kuat.

"Dia bukan soal JDT makin kuat, JDT akan cuba untuk perbaiki setiap tahun, tetapi jikalau ada masalah antara pasukan lain kemungkinan persiapan dan perancangan pasukan lain itu salah," katanya.

Setakat ini, skuad Harimau Selatan belum tewas dalam lapan aksi Liga Super dan merekodkan 38 gol dan hanya dibolosi sekali sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 6:51 PM