NORIZAM Tukiman. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORIZAM Tukiman. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman meletakkan sasaran supaya pasukannya berada dalam kelompok 10 terbaik pada saingan Liga Super musim 2023.

Menyedari bukan mudah memberikan cabaran kepada pasukan berstatus gergasi Liga Super, Norizam enggan mengangkat bendera putih terlalu awal dengan mahu membuat persiapan rapi bagi memastikan anak buahnya mampu memberi tentangan sengit.

Beliau berkata, menerusi usaha dan kerja keras seluruh pasukan bermula musim depan diharapkan mampu untuk meletakkan pasukan dalam kelompok 10 terbaik.

"Sasaran awal saya jangkakan kita memang nak memberi tentangan tetapi dalam masa sama saya harap penyokong juga akan faham dan sedar pasukan ini berbelanja dengan dana yang minima.

"Apa yang penting adalah kita mampu untuk membayar gaji dan itu yang saya letakkan paling atas untuk kekalkan pasukan ini tanpa ada masalah gaji apabila dah main di Liga Super.

"Dan saya pun tidak mahu Kelantan menjadi pasukan belasahan dan sasar untuk berada dalam 10 teratas, tetapi bukanlah untuk berada di tangga ke 10.

"Maksud saya adalah dalam kelompok 10 terbaik, mungkin nombor lapan, tujuh, atau seterusnya, InsyaAllah, katanya.

Mengikut rekod, Liga Bolasepak Malaysia sebelum inimengumumkan saingan Liga Premier dimansuhkan dalam tempoh tertentu pada musim depan manakala Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan sebagai liga yang bakal menjadi jambatan untuk memperbaiki jurang pembangunan dilihat dalam struktur liga tempatan.

Hal ini beberapa pasukan yang bersaing di Liga Premier dinaikkan pangkat dengan beraksi di Liga Super sekali gus menyaksikan pertambahan perlawanan dan saingan lebih kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 4:31 PM