DHAARMA memberikan arahan kepada skuad Hoki Wanita ketika sesi latihan.
DHAARMA memberikan arahan kepada skuad Hoki Wanita ketika sesi latihan.
Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Dhaarma Raj Abdullah tetap positif dengan tahap persaingan di Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2018 yang melabuhkan tirainya, kelmarin sekalipun masih terdapat jurang ketara antara pasukan bertanding.

Menurut ketua jurulatih skuad hoki wanita negara itu, dominasi PKS Uniten-KPT, Blue Warriors dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) yang rata-rata diperkuatkan pemain Malaysian Tigress menjadi mesej betapa pemain kebangsaan kini berada pada satu tahap yang tersendiri.

“Jika dulu pasukan yang mempunyai ramai pemain kebangsaan mungkin masih boleh dicabar pasukan bawahan, tetapi bagi musim ini sebaliknya yang terjadi apabila pasukan seperti PKS Uniten, Blue Warriors dan TLHT pastinya akan membelasah pasukan lain.

“Ini membuktikan tahap pemain kebangsaan sudah meningkat dan ia satu perkembangan positif tetapi pujian tetap perlu diberikan kepada pasukan seperti KL Wipers, Penang Juniors, MSN Kedah dan UiTM kerana menunjukkan keberanian untuk memberi pendedahan kepada pemain muda,” katanya.

Jurang ketara jelas dilihat pada edisi keempat LHWM, apabila pasukan seperti KL Wipers, Penang Juniors, MSN Kedah dan UiTM sering menjadi mangsa belasahan kepada tiga gergasi itu.

Rekod kemenangan terbesar pada musim ini dipegang PKS Uniten dengan berpesta gol membelasah MSN Kedah 12-3 dalam aksi kedua terakhir liga tempoh hari.

Bagaimanapun, Dhaarma, 49, tetap mempertahankan keputusan itu, sebaliknya beliau menghamburkan pujian kepada empat pasukan bawahan terbabit yang berani memberi pendedahan awal kepada pemain muda.

“Sepatutnya kita perlu mengambil perkara ini dari sudut yang positif kerana pasukan seperti KL Wipers, Penang Juniors, UiTM dan MSN Kedah menunjukkan keberanian bersaing dengan pasukan utama walaupun hanya diperkuatkan pemain yang masih bersekolah.

“Malah, Blue Warriors sendiri menunjukkan contoh yang baik apabila muncul juara Piala Vivian May Soars hanya dengan diperkuatkan tiga pemain kebangsaan disamping mempertaruhkan tiga import dari India dan beberapa bekas pemain kebangsaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 5:45 AM