DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO NSTP
DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Datuk Hamidin Mohd Amin 'mencabar' pasukan-pasukan di pertengahan liga mahupun bawahan supaya meningkatkan keupayaan masing-masing bagi memberi saingan kepada pasukan lebih elit dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, 'jurang' antara pasukan atasan dan bawahan sebenarnya turut berlaku di kebanyakan liga di seluruh dunia dan ia tidak hanya berlaku di Liga M.

Sambil memberi contoh seperti Manchester United, Liverpool dan Manchester City di Liga Perdana Inggeris (EPL), kelab-kelab terbabit sering mendominasi kelompok atasan dan situasi sama turut berlaku di saingan tempatan.

Justeru, beliau berharap agar semua pasukan berusaha meningkatkan kualiti termasuk menyediakan fasiliti terbaik, mengukuhkan kewangan pasukan serta mencungkil bakat-bakat baharu bagi diketengahkan dalam Liga M.

"Kalau kita lihat dalam mana-mana liga macam La Liga dan EPL, dah tentu ada pasukan elit macam contoh Liverpool, Manchester United dan Manchester City.

"Di mana ada pasukan yang memiliki kekuatan kewangan, kekuatan infrastrukur, kekuatan dari segi pemain yang kuat begitu juga dalam liga kita.

"Jadi akan ada pasukan di pertengahan dan pasukan di bawahan, sama juga La Liga macam Barcelona dan Real Madrid, kita takkan boleh lari daripada fenomena ini.

"Tapi kalau kelab-kelab ini dapat meningkat prestasi mereka di dalam padang, ia akan lebih meningkatkan lagi mutu perlawanan bola sepak dan mutu pasukan kebangsaan, di mana akan melahirkan yang lebih tinggi," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro hari ini, ejen tersohor negara, Effendi Jagan Abdullah secara peribadi menyifatkan terdapat jurang terlalu jauh antara kelompok atasan dan bawahan dalam saingan Liga M.

Lapan pasukan teratas liga yang majoritinya adalah pasukan dari Liga Super musim lalu dilihat terlalu dominan, hingga mengakibatkan banyak keputusan perlawanan menyaksikan pasukan elit terbabit mudah membelasah kelompok bawahan dengan jumlah jaringan besar.

Jika dipandang dari sudut positif, sememangnya langkah penambahan daripada 12 kepada 14 pasukan itu baik bagi meningkatkan tahap komersial Liga Super, namun apabila dirungkai daripada aspek kualiti dan impak kepada skuad kebangsaan, ia sebenarnya sedikit membimbangkan.

Lantas, Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, mencadangkan agar dikaji semula kerana terdapat beberapa pasukan sebenarnya tidak bersedia untuk bersaing di tahap tertinggi Liga Super.

Malah, beliau berpandangan penyertaan pasukan boleh dikurangkan kepada lapan pasukan terbaik dan ia dijalankan secara tiga pusingan bagi memberi jumlah perlawanan yang menepati standard Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 2:28 PM