Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara sedia menyahut harapan dan impian peminat termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berharap Harimau Cilik ini mampu melangkah ke Piala Dunia B-17 di Peru hujung tahun ini.

Pengendali B-17, Osmera Omaro berkata, pemainnya sedia memberi tentangan sengit bagi memastikan empat slot buat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand dari 3 hingga 20 Mei ini mampu digenggam, sekali gus mengetuk pintu ke Peru November ini.

"Bagi saya dalam bola sepak tahap tertinggi ini, tekanan sentiasa ada termasuk harapan ini (cuba layak ke Piala Dunia B-17). Tapi pemain-pemain saya sudah biasa berdepan dengan tekanan dan mungkin kita boleh lakukan sesuatu nanti.

"Melihatkan kepada persiapan pasukan ketika ini, pemain menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk bermain di Piala Asia.

"Pasukan ini sentiasa menunjukkan peningkatan dan saya mengucapkan terima kasih kepada FAM dan penyokong bola sepak yang tak putus-putus beri semangat dan sokongan buat pasukan muda kita ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Malaysia layak ke Piala Asia di Bangkok selepas muncul juara kumpulan peringkat kelayakan dalam Kumpulan B apabila mengenepikan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Palestin, Indonesia dan Guam menerusi tiga kemenangan dan satu seri untuk mengumpul 10 mata.

Ini penampilan keenam skuad Harimau Muda negara beraksi di pusingan akhir itu dengan pencapaian terbaik pada 2014 di bawah kendalian S Balachandran apabila mara hingga ke suku akhir sebelum tunduk 1-2 di tangan Australia, sekali gus kempunan ke Piala Dunia ketika itu.

Berdasarkan format ke Piala Dunia B-17, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberikan empat tiket buat pasukan terbaik di Piala Asia B-17 dan ia bermakna, negara yang layak ke separuh akhir automatik meraih slot itu.

Ditanya mengenai perancangan rapi Hamidin untuk menghantar pasukan muda negara berlatih di Aspire Akademi di Qatar April ini, Osmera menganggap ia peluang keemasan buat anak buahnya mendapat pendedahan tertinggi sebelum ke Bangkok.

"Ia peluang bagus kerana di situ pemain akan dapat pendedahan bermain dengan pasukan yang tinggi kualitinya yang setanding dengan pasukan-pasukan bertanding di Piala Asia nanti," katanya.

Mengikut perancangan FAM, skuad B-17 akan dihantar ke Jepun bagi menyertai kejohanan jemputan di negara Matahari Terbit itu pada bulan depan.

Selepas itu, pasukan akan berlatih selama tiga minggu akademi bola sepak terulung di dunia iaitu di Aspire Akademi di Qatar dari 9 hingga 24 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 6:03 PM