HAMIDIN (dua dari kanan) harap skuad B-17 pulang ke tanah air dengan kejayaan luar biasa. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAMIDIN (dua dari kanan) harap skuad B-17 pulang ke tanah air dengan kejayaan luar biasa. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap skuad Harimau Malaya Bawah 17 tahun (B-17) mampu mencipta kejayaan luar biasa di kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand.

Hamidin berkata, pemain sudah pastinya bersedia untuk memikul tanggungjawab pada saingan akan berlangsung dari 15 Jun hingga 2 Julai itu.

"Skuad Harimau Malaya B-17 ini ialah pemain masa depan Harimau Malaya maka diingatkan ikatan sesama pemain penting untuk mencipta kejayaan.

"Niat pemain perlu satu iaitu perlu sehati sejiwa untuk bawa keputusan yang baik dan jika boleh, pulang ke tanah air dengan kejayaan luar biasa," katanya.

Sebelum itu, skuad Harimau Malaya B-17 mendapat tonik dan suntikan semangat sebelum mereka berlepas ke Bangkok pada Isnin ini apabila menerima kejutan pada sesi makan malam pasukan di hotel penginapan mereka, malam tadi.

Kehadiran istimewa ahli keluarga mereka yang dibawakan khas untuk bersama menikmati makan malam itu adalah kejutan yang pertama kali dianjurkan FAM.

Malaysia di bawah kendalian Osmera Omaro ini berada di Kumpulan A bersama Yaman, Laos dan pasukan tuan rumah, Thailand.

Jika layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat benua ini dari Kumpulan B antara Korea Selatan, Qatar atau Iran, dengan Afghanistan melengkapkan kumpulan itu.

Malaysia bakal mengharungi saingan Piala Asia B-17 2023 ini dengan empat tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023 menjadi rebutan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 3:51 PM