HAMIDIN bertemu barisan pemain yang akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok. FOTO FAM
HAMIDIN bertemu barisan pemain yang akan mengibarkan cabaran di Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberi peringatan kepada barisan pemain skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara supaya tidak leka ketika beraksi di kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, bermula 15 Jun ini.

Hamidin berkata, barisan pemain muda Harimau Malaya itu ketika ini dilihat lebih bersedia untuk 'mengaum' di peringkat Asia sekali gus menghadirkan keputusan positif buat negara.

"Bagaimanapun, setiap pemain diingatkan tidak boleh leka kerana lawan di peringkat Asia ini memiliki kekuatan setara.

"Namun, saya yakin pemain dilihat bersedia cuma apa yang penting ialah semangat berjuang demi negara yang tinggi perlu diterapkan untuk ke peringkat lebih tinggi. Kita tidak boleh leka," katanya.

Skuad Harimau Malaya B-17 ketika ini dalam kem latihan pusat fasa akhir menjelang Piala Asia B-17 2023 di Bangkok bermula 15 Jun hingga 2 Julai 2023.

Dalam pada itu, Skuad Harimau Malaya B-17 berdepan dengan dua perlawanan persahabatan menentang B-17 Uzbekistan (6 Jun) dan B-17 Arab Saudi (9 Jun).

Malaysia di undi dalam Kumpulan A bersama Yaman, Laos dan pasukan tuan rumah, Thailand sekali gus dilihat berpeluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Jika layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat benua ini dari Kumpulan B antaranya Korea Selatan, Qatar atau Iran, dengan Afghanistan.

Pada masa sama, Malaysia bakal mengharungi saingan Piala Asia B-17 dengan empat tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023 menjadi rebutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 1:19 PM