GUARDIOLA menjawab soalan pada sidang media menjelang pertarungan dengan Bayern. FOTO REUTERS
GUARDIOLA menjawab soalan pada sidang media menjelang pertarungan dengan Bayern. FOTO REUTERS
Reuters

Manchester: Manchester City terdesak memenangi gelaran sulung Liga Juara-Juara Eropah (UCL), tetapi keinginan sahaja tidak mencukupi untuk meraih kejayaan di kejohanan utama Eropah.

Pengakuan itu disuarakan pengurusnya, Pep Guardiola menjelang perlawanan pertama suku akhir menentang Bayern Munich pada pagi Rabu ini.

Guardiola pernah memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), satu Piala FA, empat Piala Liga bersama City, tetapi belum pernah mengecapi kejayaan di Eropah walaupun dua kali menjulang trofi itu sebagai pengurus Barcelona.

Di bawah pengurus dari Sepanyol itu, City mara ke suku akhir UCL enam musim berturut-turut dengan pencapaian terbaik juara England itu adalah muncul naib juara pada 2021.

Ketika ditanya adakah dia amat mahukan gelaran UCL bersama City, Guardiola memberitahu wartawan, "sangat mahukannya."

"Kami mahu mencuba. Satu penghormatan berada di sini menentang kelab elit, Bayern Munich. Kami tidak akan ambil mudah. Kami akan bermain dua perlawanan bermula esok," katanya.

"Persoalan itu datang pada setiap musim. Kami cuba setiap musim. Pasukan yang anda lawan pun bagus dan mereka turut mahu menang. Impian saya ialah melakukannya sekali lagi. Kami mahu mencuba, tetapi ia tidak bermakna kami akan menang.

"Michael Jordan menang enam gelaran NBA, berapa tahun dia bermain? 16 tahun."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 11:21 PM