GUARDIOLA kecewa selepas Manchester City tewas di tangan Real Madrid di suku akhir UCL, awal pagi tadi. FOTO AFP
GUARDIOLA kecewa selepas Manchester City tewas di tangan Real Madrid di suku akhir UCL, awal pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak kesal sekalipun impian mereka untuk melakar treble kedua berturut-turut dimusnahkan Real Madrid pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang dikuasai sepenuhnya kelab Inggeris itu, awal pagi tadi.

Real yang juga juara Eropah 14 kali menundukkan juara bertahan itu 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Etihad untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir menentang Bayern Munich, sekali gus melunaskan dendam selepas City menyingkirkan kelab Sepanyol itu pada separuh akhir tahun lalu dalam laluan memenangi kejuaraan sulung mereka.

"Tahniah kepada Real Madrid, mereka bertahan dengan mantap, dengan kesatuan yang luar biasa," kata Guardiola.

"Kami melakukan segala-galanya. Saya tidak kesal mengenai apa yang sudah kami lakukan. Secara bertahan, menyerang, kami bermain luar biasa di semua bahagian, dalam segala-galanya, tetapi malangnya kami tidak mampu menang, jadi itulah yang terjadi."

Selepas merangkul kejuaraan treble pertama mereka iaitu UCL, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu, City dilihat berada di landasan terbaik untuk muncul pasukan pertama meraih tiga kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut.

Namun di sebalik mendominasi aksi menentang Real itu dengan meledak 33 percubaan berbanding lapan buat Real dan mengambil 18 sepakan sudut berbanding hanya satu buat pelawat, anak buah Guardiola gagal menewaskan lawan mereka.

Kevin De Bruyne menyumbat gol pada minit ke-76 untuk memadamkan gol Rodrygo pada minit ke-12, namun kedua-dua pemain Belgium dan mesin pencetak gol City, Erling Haaland mensia-siakan beberapa peluang menjaringkan gol ketika aksi itu terikat 1-1 dan 4-4 secara agregat.

Kemenangan kelihatan berada dalam genggaman City apabila Luka Modric gagal menyudahkan sepakan penalti pertama Real.

Namun, momentum berubah apabila tendangan penalti Bernardo Silva menuju tepat ke arah penjaga gol Andriy Lunin, mencetus peluang buat pemain Madrid, Nacho Gonzalez dan Antonio Rudiger untuk memastikan kemenangan.

"Bola sepak adalah mengenai menjaringkan gol dan menerusi sepakan penalti mereka bertindak lebih baik sedikit berbanding kami," kata Guardiola.

"Persembahan dan komitmen serta segala-galanya adalah luar biasa."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 1:16 PM