PENYERANG Barcelona, Robert Lewandowski (kanan) bergurau dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland ketika perlawanan persahabatan di Camp Nou, Rabu lalu. FOTO EPA
PENYERANG Barcelona, Robert Lewandowski (kanan) bergurau dengan penyerang Manchester City, Erling Haaland ketika perlawanan persahabatan di Camp Nou, Rabu lalu. FOTO EPA
Reuters

Istanbul: Dua penyerang terhebat Eropah akan berdepan bekas kelab apabila Erling Haaland akan membantu Manchester City menentang Borussia Dortmund manakala Robert Lewandowski bersama Barcelona menentang Bayern Munich.

Situasi itu berlaku selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diadakan, malam tadi.

Juara bertahan, Real Madrid yang mencipta rekod muncul juara Eropah sebanyak 14 kali termasuk menewaskan Liverpool di final musim lalu, akan bertemu RB Leipzig, Shakhtar Donetsk dan Celtic dalam Kumpulan F.

Pada ketika pasukan Carlo Ancelotti itu dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kalah mati, pencabar mereka di Sepanyol yang juga juara Eropah lima kali, Barca berdepan ujian sukar bersama Bayern, Inter Milan dan Viktoria Plzen dalam Kumpulan C.

Peminat turut menanti kepulangan semula Lewandowski ke Bayern iaitu kelab menyaksikan penyerang antarabangsa Poland itu menang lapan gelaran liga, tiga Piala Jerman serta sekali menjulang trofi UCL dan Piala Kelab Dunia.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City diundi dalam Kumpulan G bersama Dortmund, Sevilla dan FC Copenhagen.

Pengurus mereka dari Sepanyol, Pep Guardiola sudah pasti berharap kehadiran Haaland mampu merealisasikan impian untuk bergelar juara Eropah buat kali pertama.

"City secara semulajadi adalah lawan perlu dihormati di UCL. Kami tidak sabar menanti perlawanan itu dan bertemu semula dengan Erling Haaland," kata pemain tengah Dortmund, Marco Reus.

Naib juara musim lalu, Liverpool diundi bersama Ajax Amsterdam, Napoli dan Rangers dalam Kumpulan A.

"Perkara pertama, ini adalah cabaran sebenar," kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp di laman web kelab itu.

"Semua kelab memiliki kualiti tersendiri, mereka ada sejarah hebat dan saya perlu katakan mereka ada peluang.

"Begitu juga dengan kami, jadi kami sedia mencabar dan berusaha."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 10:34 AM