GUARDIOLA (tengah) mengemudi latihan Man City menjelang final UCL dengan Inter Milan, awal pagi Ahad ini. FOTO REUTERS
GUARDIOLA (tengah) mengemudi latihan Man City menjelang final UCL dengan Inter Milan, awal pagi Ahad ini. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Manchester City semakin hampir melakar sejarah merangkul tiga piala (treble) ketika anak buah Pep Guardiola menyasarkan trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Inter Milan, awal pagi Ahad ini.

Inter menjadi penghalang kepada usaha City menyamai pencapaian terhebat dalam bola sepak Inggeris dengan mengatasi treble Manchester United pada musim 1998/99 apabila memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan UCL.

Bagi Guardiola, detik mendapat pengiktirafan peribadi menanti di Istanbul selepas 12 tahun kemarau kejuaraan dalam kejohanan berkenaan.

Beliau diakui sebagai jurulatih terhebat dalam generasinya dengan 11 gelaran liga sepanjang 14 musim mengemudi Barcelona, Bayern Munich dan City.

Tetapi, sejak memenangi trofi UCL pada 2011 iaitu kejayaan kedua dalam tiga musim pertama di Barca, Guardiola kerap mengalami penyingkiran memilukan di Eropah.

Selepas tewas aksi separuh akhir dramatik di tangan Chelsea pada tahun terakhir di Camp Nou, tempoh tiga tahun Guardiola bersama Bayern turut dihiasi dengan tiga lagi kekalahan di separuh akhir.

Bersama City, dia terpaksa mencuba lima kali untuk melepasi halangan di suku akhir, tetapi dia kemudian kecundang di tangan Chelsea di final dua tahun lalu.

Malah, kebangkitan luar biasa dipamerkan Real Madrid di separuh akhir, musim lalu, cukup melukakan City.

Skuad bimbingan Guardiola yang tewas di final 2021 dilimpahi barisan pemain berbakat dan didakwa terlalu banyak berfikir.

Tetapi, percaturan taktikalnya berjaya mengubah kempen yang kurang menyerlah sejak Februari lalu kepada kelab yang berpotensi menikmati pencapaian terhebat dan mencipta sejarah baru.

Pada Januari lalu, Guardiola kerap mempersoalkan keinginan pemainnya untuk memenangi trofi dan pasukan itu mengambil masa untuk menggunakan kelebihan Erling Haaland sebelum penyerang Norway itu meledak 52 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Ramai mempersoalkan tindakan memindahkan Joao Cancelo pada jendela perpindahan Januari lalu, sehingga City terdekat untuk mendapatkan pemain pertahanan semulajadi.

Tetapi, Guardiola mengubah perancangan dengan bersama secara tiga bek tengah manakala bek tengah, John Stones diletakkan di bahagian tengah iaitu posisi kerap dikuasai Cancelo dan hasilnya cukup memberangsangkan.

"Banyak projek dan idea kelab musnah kerana gagal menang kejohanan ini dan banyak yang menjadi kelab besar selepas menang kejohanan ini," kata Guardiola kepada UEFA.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 10:59 AM