SAFEE kagum keupayaan pemain muda.
SAFEE kagum keupayaan pemain muda.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yakin skuad Bawah 17 (B-17) tahun negara mampu melepasi peringkat kumpulan Piala Asia B-17 di Thailand Jun ini, sekaligus mengintai tiket ke Piala Dunia hujung tahun ini.

Jelas Safee, beliau agak kagum dengan corak permainan skuad Harimau Muda itu selain melihat tiga pencabar lain dalam Kumpulan A mampu diatasi pasukan negara.

Berdasarkan undian yang dilakukan sebelum ini, skuad kendalian Osmera Omaro itu diletakkan bersama tuan rumah Thailand, Laos dan Yaman.

"Saya melihat mereka bermain mengagumkan menerusi corak permainan mereka. Bagi saya mereka ada peluang bertemu Yaman, Thailad dan Laos, dan mereka ada peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran buat skuad muda negara untuk mara sehingga ke separuh akhir saingan Piala Asia di Thailand, di mana empat pasukan terbaik akan mewakili Asia ke Piala Dunia B-17 nanti.

Sebelum ini Peru dijadual menganjurkan Piala Dunia itu namun kelmarin, Fifa menarik balik hak tuan rumah ke atas negara Amerika Latin itu dan venue baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jelas Safee lagi, walaupun skuad negara itu mampu mencapai sasaran berkenaan tetapi dia berharap tekanan tidak diberikan kepada pasukan itu.

"Bagi saya memang semua nak berjaya dalam apa juga kejohanan di pertandingankan. Tapi sebagai seorang bekas pemain dan pemain yang pernah lalui, untuk peringkat umur, tidak susah untuk letakkan harapan dan sasaran.

"Kalau dapat melangkah itu satu perkara yang baik dan satu bonus untuk pasukan dan negara. Saya setuju dengan perkembangan paskan B-17...pasukan yang sangat baik, ini menunjukkan kita ada pelapis dan akademi yg berjaya melahirkan pemain yang berjaya dan berkualiti.

"Saya mengharapkan banyak lagi pelapis yang bersedia menyarung jersi kebangsaan. Satu lagi, fasiliti kita kena bertukar, di mana pemain dah berada pada landasan yang baik, pemain ada kualiti jadi fasiliti juga harus seiring dengan pemain yang ada sekarang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 11:04 PM